PROGRAM SDG : JOM CELIK MAKLUMAT PSB BERSAMA SMK BANDAR BARU SINTOK

PSB Online – Baru-baru ini telah diadakan aktiviti bersama komuniti melalui Program Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Develoment Goals (SDG) : “Jom Celik Maklumat!” di antara Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sintok (SMKBBS) di Sintok Kedah. Program SDG ini telah diadakan pada 15 Jun 2023 bertempat di sekolah tersebut.

“Jom Celik Maklumat” ini telah melibatkan seramai 130 pelajar Tingkatan Empat dan ianya juga turut melibatkan kerjasama bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah. Antara objektif utama diadakan adalah untuk meningkatkan kemahiran literasi maklumat dalam membantu pelajar mengenal pasti maklumat dan menggunakan teknik pencarian maklumat dengan betul dalam melaksanakan tugasan kerja khusus.

Program ini telah diketuai oleh Pn. Mazyana Hashim, Ketua Bahagian Perkhidmatan Pengguna (BPP) dengan dibantu oleh 27 fasilitator yang terdiri daripada staf pelbagai bahagian di PSB. Turut hadir ke perasmian program ini menyatakan sokongan adalah Penolong Ketua Pustakawan Menjalankan Fungsi Ketua Pustakawan PSB iaitu Pn. Norma Said. Menurut beliau kolaborasi antara universiti dan sekolah berupaya meningkatkan kemahiran insaniah, kemahiran komunikasi di samping menyuntik semangat pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Sarat dengan pengisian bermanfaat rata-rata pelajar teruja dengan aktiviti berkumpulan yang mewujudkan semangat kerja berpasukan, kerjasama dan toleransi. Antara aktiviti yang dijalankan, Bengkel Literasi Maklumat oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah dan Edufun Games seperti cari gula-gula di dalam tepung, draw and guess, bowling botol, mencipta pantun dan pelbagai lagi.

Antara elemen SDG yang terlibat dalam projek ini adalah SDG 4 (Quality Education), SDG 12 (Responsible Consumption and Production) dan SDG 17 (Partnership For Goals). Program sebegini diharap dapat diteruskan lagi di masa akan datang untuk mencapai matlamat SDG yang menyumbang kepada pembangunan mampan sesama masyarakat.

 

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Asyraf Syed Ismail