PSB ANJUR BENGKEL BIJAK WANG : REBUT PELUANG MENABUNG DENGAN SSPN-iPLUS ​

PSB Online – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) melalui Unit Latihan dan Kualiti telah berjaya menganjur satu ceramah bertajuk “Bengkel Bijak Wang 2021 Bersama Pengurus Besar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Kedah” pada 22 Jun 2021. Bengkel ini telah diadakan secara atas talian Cisco Webex dan telah dihadiri oleh seramai 53 orang peserta yang kesemuanya sedang bekerja dari rumah (BDR) ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Malaysia serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PPKPD) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program santai secara sesi perkongsian ilmu ini telah bermula pada pukul 9.30 pagi dan disampaikan oleh Encik Fauzi Azli B. Salleh, Penguru Besar PTPTN Kedah. Melalui ceramahnya, Encik Fazli telah menyampaikan objektif utama penyampaiannya pada sesi ini adalah lebih tertumpu kepada memperkenalkan dan mempromosi produk SSPN-iPlus kepada semua peserta PSB. Menurutnya “sebagai ibu-bapa kita perlu mempunyai perancangan yang bijak untuk mengurus kewangan demi pendidikan dan masa hadapan anak masing-masing. Selain untuk tujuan pendidikan, kita juga perlu menyediakan perlindungan untuk manfaat diri kita sendiri dan keluarga kita sekiranya berlaku kecemasan seperti kemalangan atau kematian secara tiba-tiba. Nilai pampasan yang disediakan SSPN-iPlus mampu mengukir senyuman kepada mereka yang kita tinggalkan untuk meneruskan hidup tanpa perlu menagih simpati atau meminta-minta kepada sanak-saudara atau kepada sesiapa pun”

Menurut Encik Fauzi lagi, “SSPN-iPlus merupakan satu skim atau pelan simpanan yang direka dengan perlindungan takaful yang murah dan komprehensif. Gaji kecil atau gaji besar, SSPN-iPlus menyediakan pakej-pakej simpanan yang mampu milik menepati semua golongan pendapatan. Dengan komitmen serendah RM30 sebula, antara manfaat yang diperolehi ialah pendeposit dan anak akan mendapat manfaat khairat kematian sehingga RM18,000, simpanan dijamin oleh kerajaan patut shariah, pelepasan cukai sehinggan RM12,000, tiada pemeriksaaan kesihatan serta anak akan layak untuk memohon pinjaman PTPTN”.

Di samping mempromosi SSPN-iPlus, Encik Fauzi juga turut membuat hebahan mengenai program Kerajaan Negeri Kedah iaitu “Program Anakku Sejahtera” yang telah bermula pada awal tahun 2021 yang lalu. Katanya “Program dengan jumlah peruntukkan 1 juta ini adalah sebagai salah satu inisiatif pembasmian kemiskinan untuk rakyat Negeri Kedah. Program melalui bantuan tabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) ini memberi sebanyak RM100 kepada semua bayi yang baru dilahirkan dengan syarat kelahiran berlaku di mana-mana hospital di dalam negeri Kedah beserta ayah dan ibu bayi uitu sendiri mestilah rakyat kelahiran Kedah”.

Sepanjang bengkel ini berlangsung, melalui ruangan chatbox Webex, ramai peserta yang bertanya tentang bayaran balik pinjaman PTPTN dan tidak kurang juga yang berminat untuk membuka akaun SSPN-iPlus. Bengkel ini telah berakhir pada pukul 12.15 tengahari. Kesimpulannya, sebagai ibu-bapa yang bijak, menyimpan di SSPN-iPlus ini adalah yang terbaik. Selamat menyimpan dan melabur untuk masa depan anak-anak dengan SSPN-iPlus. Pastinya, ia adalah satu pelaburan yang berbaloi untuk anak-anak kita sejajar konsep “Simpan dan lindung”. Kita menyimpan dan mendapat perlindungan.

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar oleh :  Ku Rosyidi Ku Md Razi dan Azniza Binti Ahmad