PSB Online – Mengadaptasi kehidupan norma baharu tatkala masih di dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perlu akur mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Pandemik Covid-19, Unit Latihan dan Kualiti Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengambil inisiatif berhijrah ke alam maya untuk menganjurkan kursus yang selama ini diadakan secara bersemuka.
Sebagai pembuka tirai tahun 2021 ini, Bengkel Infografik telah berlangsung secara atas talian pada 27 Januari 2021 yang lalu. Bengkel ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh Encik Mohd Shazwan Nabil Shukor, Pegawai Teknologi Maklumat dari Unit Teknologi Maklumat PSB sebagai fasilitator. Seramai 42 orang peserta telah mengikuti bengkel secara maya ini yang dijalankan selama tiga jam bermula dari pukul 9.15 pagi hingga 12.15 tengahari.
Dengan menggunakan aplikasi Cisco Webex, Encik Shazwan membimbing bengkel ini di pejabat beliau yang terletak di Paras Satu, Bangunan Utama PSB manakala 42 peserta yang lain mengikuti bengkel secara maya ini samada berada di pejabat atau di rumah masing-masing. Peserta bengkel adalah terdiri daripada Pustakawan, Pembantu Pustakawan dan Pembantu Tadbir PSB sendiri.
Menurut Encik Shazwan, kandungan slide powerpoint yang digunakan dalam bengkel kali ini adalah kandungan yang sama yang digunakannya untuk membimbing bengkel dengan tajuk yang sama pada tahun lepas. Menurutnya lagi “untuk menghasilkan infografik yang menarik, terutama untuk mereka bentuk poster, kreativiti memainkan peranan utama. Kita perlu kreatif memilih imej yang tepat dengan tema poster kerana imej merupakan elemen yang paling penting. Di samping imej, teks yang ringkas, padat dan jelas beserta font yang baik akan membantu menyampaikan hasrat penyampaian kita kepada sasaran pengguna ”
Pada keadaan di luar norma baharu, untuk bengkel seumpama ini, para peserta selalunya akan dipandu secara ‘hands on’ mencari bahan bersama fasilitator agar peserta lebih memahami teknik dan tips menyiapkan sebuah infografik. Memandangkan bengkel ini dikendalikan secara atas talian, para peserta hanya mengambil catatan nota untuk panduan tanpa ‘hands on ‘seperti kebiasaan selalu. Untuk sebarang persoalan yang berbangkit sepanjang bengkel ini berlangsung, para peserta menggunakan ruangan chat untuk berhubung dengan fasilitator.
Di penghujung bengkel, juga menerusi ruangan chat, rata-rata peserta berpendapat bahawa percubaan Unit Latihan dan Kualiti untuk mengadakan bengkel secara atas talian ini berjaya walaupun terdapat kekurangan yang boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. Semoga Unit Latihan dan Kualiti mengambil maklum akan kelemahan dan kekurangan yang tidak dijangka dan melakukan penambahbaikan demi menyebarkan ilmu dan kemahiran kepada semua kakitangan PSB di masa akan datang.
Disediakan dan gambar oleh : Azniza Binti Ahmad