PSB ANJUR BENGKEL KESIHATAN MINDA SIRI 2 –ANXIETY DAN STRESS

PSB Online – Setelah kejayaan penganjuran Bengkel Kesihatan Minda Siri 1 bertajuk ‘I’m Perfectionist’ pada 6 April 2021 yang lalu, Unit Latihan dan Kualiti, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) meneruskan siri 2 dengan membawakan tajuk ‘Anxiety dan Stress’.

Pada kali ini, penceramah jemputan adalah Pn. Faezah Nayan iaitu Pegawai Psikologi dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Utara Malaysia (UUM). Bengkel yang diadakan secara atas talian melalui aplikasi Cisco Webex ini telah diadakan pada 6 Mei 2021 dan telah bermula pada jam 9.45 pagi. Membawakan topik yang menarik, bengkel ini telah disertai oleh seramai 79 orang peserta yang terdiri daripada staf PSB yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai apa itu ‘anxiety’ dan ‘stress’ serta cara-cara mengendalikannya.

Seusai membacakan doa, Pn. Faezah memulakan siri bengkel dengan pengenalan mengenai stress. Selain itu, beliau juga turut berkongsi mengenai simptom-simptom stress yang kadang-kala seseorang tidak menyedari bahawa beliau berada di dalam keadaaan stress yang mampu memudaratkan kesihatannya. Antara simptom-simptom stress yang disebut adalah insomnia iaitu kesukaran untuk tidur malam, acute stress iaitu keadaan di mana seseorang mengalami gejala sukar bernafas, badan berpeluh-peluh dan sejuk, sakit dada dan beberapa simptom lain lagi. Tambah beliau lagi, seandainya bergejala, individu tersebut dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan kaunseling, meluahkan permasalahan pada rakan baik atau mencari hobi yang disukai untuk mengisi masa lapang.

Bagi mendapatkan lebih penjelasan dan pengalaman mengenai permasalah stress dan anxiety ini, seorang bekas pesakit, iaitu pelajar tahun akhir UUM, telah sudi untuk berkongsi mengenai perjuangan beliau melawan penyakit ini. Gemar menggelarkan diri beliau sebagai ‘psychiatric survivor’, beliau memulakan sesi perkongsian ini dengan kata-kata semangat kepada penderita stress dan anxiety untuk berani bertindak dengan berani keluar untuk mendapatkan rawatan. Beliau juga turut berkongsi statistik daripada National Mental Health Survey (NMHS) 2019 yang mengatakan bahawa setengah juta rakyat Malaysia sedang berjuang dengan pelbagai masalah mental. Oleh yang demikian, selain setiap individu perlu peka dengan keadaan sekeliling dengan mengambil berat akan permasalahan atau perubahan orang terdekat, individu yang merasakan sedang mengalami masalah mental ini juga boleh menghilangkan rasa tersebut dengan memperbanyakkan senaman, ‘self love and self care’, dapatkan tidur yang cukup dengan mengamalkan ‘sleep hygiene’, kerap minum air, makan buah dan sayur-sayuran serta lain-lain lagi. Di akhir perkongsian beliau juga turut berkongsi kaedah terbaik untuk mendapatkan rawatan  iaitu dengan menghubungi Pusat Kaunseling UUM, hospital kerajaan, hospital swasta atau badan-badan NGO (non-governmental organizations) seperti MIASA dan Befrienders.

Bengkel ini tamat sekitar jam 12.45 tengahari selepas sesi soal jawab yang diajukan melalui ruangan chat room di aplikasi Cisco Webex.

 

Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias