PSB ANJUR BENGKEL PENYEDIAAN DOKUMENTASI ISO 9000 : 2015

PSB Online  – Pengurusan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) melalui Unit Latihan dan Kualiti telah mengadakan Bengkel Penyediaan Dokumentasi ISO 9000 : 2015 pada 08 Ogos 2021. Bengkel yang bermula pada pukul 9.00 pagi ini telah diadakan secara atas talian melalui medium Webex dan telah dihadiri oleh semua Ketua Bahagian dan Ketua Unit PSB.

Bengkel ini secara khusus memberi tumpuan  untuk menyemak dan melengkapkan penyediaan dokumen baharu ISO versi 9000 : 2015 kepada Bahagian Muzium Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM). Objektif bengkel ini adalah untuk meminta panduan dan pandangan dari semua Ketua Bahagian atau Ketua Unit yang lebih berpengalaman dalam melengkapkan prosedur kerja, arahan kerja, borang kualiti dan senarai semak bagi fungsi dan sub-fungsi proses perkhidmatan utama di Muzium. Secara umumnya, Bahagian Muzium telah mengenalpasti 5 proses kerja yang utama iaitu Perolehan Bahan/Artifak, Pendaftaran Bahan/Artifak, Konservasi Koleksi Muzium dan Tagging Bahan/Artifak. Selain itu, Bengkel ini juga diadakan sebagai persediaan untuk menghadapi Audit Kualiti Dalaman UUM yang bermula dari 01 hingga 30 Ogos 2021.

Bengkel ini telah dibimbing sepenuhnya oleh Encik Razak Siamin, Pengerusi Jawatankuasa Kualiti Jabatan merangkap Timbalan Ketua Pustakawan PSB. Pembentang dokumen dari Bahagian Muzium ialah Puan Noorfauziati Binti Mat Yatim, Pustakawan Kanan dan Ketua Unit Pembangunan Koleksi. Beliau dibantu oleh Encik Hisomuddin Abdullah, Pustakawan  dan Encik Iznan Bin Kasim, Penolong Kurator dari Unit Konservasi, Repositori dan Pameran Muzium. Sebagai permulaan, Puan Noorfauziati telah membentang dokumen prosedur kerja mengenai Perolehan Bahan/Artifak untuk semakan dan meminta pandangan dari semua peserta bengkel untuk sebarang penambahbaikan dan pindaan sekiranya ada.

Bengkel ini telah tamat pada pukul 11.45 pagi dengan rumusan Bahagian Muzium perlu melengkapkan semua komponen proses kerja utama terlebih dahulu dan perlu diadakan pra-audit terhadap semua dokumen tersebut sebelum disahkan dalam mesyuarat sebagai dokumen baharu ISO PSB.

Selain sebagai persiapan audit, bengkel ini juga merupakan serampang dua mata bagi memberi panduan  dan pendedahan kepada pustakawan dan staf baharu sekiranya ada keperluan mewujudkan prosedur kerja baharu di Unit masing-masing sejajar dengan kehendak  sistem ISO Universiti.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Noraini Alias