PSB ANJUR CERAMAH KESELAMATAN & LATIHAN MEMADAM KEBAKARAN BERSAMA JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT NEGERI KEDAH

Bertepatan dengan peribahasa “Beringat sebelum kena,berjimat sebelum habis”, Jawatankuasa OSH Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan ceramah keselamatan & latihan memadam kebakaran dengan kerjasama Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Kedah. Ceramah dan latihan tersebut telah diadakan pada 28hb Mei 2015, jam 10.00 pagi. Ceramah keselamatan tersebut telah berlangsung di Auditorium 1,Bangunan Utama PSB serta latihan memadam kebakaran telah diadakan di ruangan lapang di sekitar PSB.

Ceramah keselamatan yang berlangsung selama satu jam ini telah disampaikan oleh seorang individu yang cukup berpengalaman iaitu Tuan Syobirin Abd. Kadir yang merupakan Penguasa Bomba dari Ibu Pejabat Bomba & Penyelamat Negeri Kedah. Tujuan utama ceramah ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan serta kesedaran keselamatan kebakaran kepada semua staf PSB. Staf PSB didedahkan dengan pelbagai ilmu serta tips-tips penting sekiranya berlaku kebakaran. Mereka diajar mengenali peralatan-peralatan mencegah kebakaran yang terdapat di dalam bangunan PSB,bagaimana ia berfungsi serta kegunaannya. Selain itu, staf PSB juga didedahkan dengan tayangan video yang memaparkan situasi berlakunya kebakaran yang hanya bermula daripada api yang sangat kecil,jika lambat bertindak ianya mampu membawa kepada kemusnahan total dalam masa lebih kurang 4 minit sahaja. Oleh itu,amatlah penting untuk semua individu untuk kenal serta ambil tahu berkenaan peralatan-peralatan mencegah kebakaran serta bagaimana ianya berfungsi bagi mengelak ataupun mengurangkan kesan kemusnahan akibat kebakaran. Selain daripada itu, Tuan Syobirin juga memberikan tips bagaimana untuk menyelamatkan diri dengan kecederaan minimal sekiranya kita terperangkap di dalam kebakaran yang diselubungi asap tebal serta api yang marak.

Tidak terhad dengan ceramah keselamatan sahaja, staf PSB juga berpeluang menimba ilmu serta pengalaman dengan lebih dekat lagi apabila satu demonstrasi latihan memadam kebakaran diadakan selepas sesi ceramah. Mereka diajar cara-cara menggunakan pemadam api serta fungsi-fungsinya. Terdapat 4 jenis alat pemadam api yang terdiri daripada alat pemadam api jenis air, debu kering (dry powder), jenis gas (Co2 & BCF) dan buih (foam). Setiap jenis alat pemadam api ini adalah berbeza dari segi kandungan serta fungsinya. Kesemua jenis alat pemadam api ini akan digunakan bergantung kepada keadaan situasi penyebab kebakaran.

Bagi memahami bagaimana alat pemadam api ini berfungsi, beberapa orang staf PSB juga berpeluang mengambil bahagian untuk mencuba serta merasai sendiri pengalaman bagaimana memadamkan api dengan mengambil kira faktor angin dan sebagainya. Mereka juga dapat merasa memakai pakaian seragam bomba serta ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada pakaian tersebut.

Akhir kata, penganjuran Ceramah Keselamatan & Latihan Memadam Kebakaran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah ini adalah program tahunan anjuran Jawatankuasa OSH, PSB. Dengan kejayaan menganjurkan program tahunan ini, diharap semua staf PSB bersedia serta tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kebakaran bukan sahaja di pejabat malahan di rumah.