PSB Online – Setiap tahun pelbagai aktiviti menarik telah dirancang dan dianjurkan bagi menyambut bulan kemerdekaan. Sempena sambutan bulan kemerdekaan tahun ini, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) tidak ketinggalan meraikannya dengan menganjurkan satu ceramah merdeka bertajuk “Kedah Dalam Diskusi Sosial Budaya” pada 08 September 2022.
Ceramah yang bermula pada pukul 10.00 pagi ini telah berlangsung di Auditorium 2, Bangunan Tambahan PSB dan disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Kasri Saidon, Pensyarah dari Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM). Ceramah ini adalah inisiatif Unit Perkhidmatan Pelanggan, Bahagian Perkhidmatan Pengguna PSB. Antara objektif penganjuran ceramah ini adalah untuk meraikan bulan kemerdekaan serta untuk mengukuhkan pengetahuan sedia ada tentang sejarah tanahair dan memantapkan lagi pembinaan jati diri bangsa Melayu.
Dalam ceramahnya, Dr. Kasri mengenengahkan tentang siapa itu orang Kedah dan dari mana asal usulnya? Katanya masyarakat Kedah adalah masyarakat yang simple dan mudah asalkan jangan diganggu soal 5 perkara iaitu tentang institusi raja, kedudukan istimewa orang Melayu, islam sebagai agama rasmi dan tanah ladang orang Melayu.
Selain itu, Dr. Kasri juga menerangkan tentang pengkelasan sosial yang diguna pakai orang Melayu Kedah pada zaman silam yang bermula dari golongan bangsawan iaitu Tunku, Wan, Ku, Syed, Syeikh, Penghulu Mukim, Penghulu Kampong, Panglima, Ketua Kampong, DO, Raja Tanah, Kadhi, OCPD, Headmaster, dan anak orang baik-baik.
Seterusnya beliau juga menjelaskan tentang cara hidup masyarakat Kedah yakni suasana sosial sebelum tahun 1941. Perkongsian ilmu yang menarik dari segi pakaian yang dipakai oleh lelaki dan wanita Melayu ketika itu, struktur rumah orang Kedah, penggunaan tandas, makanan ruji dan juga tentang aktiviti perniagaan seperti Pekan Rabu, Pekan Pesara yang melibatkan ekonomi orang Melayu pada zaman itu.
Di akhir ceramah, Dr. Kasri juga turut mengupas tentang makna tersirat tentang ciri-ciri kecantikan dan perawakan anak dara orang Kedah yang selalu dikaitkan dan digambarkan kecantikannya seperti hidung mancung bak seludang, pipi pauh dilayang, rambut ikal mayang, bibir bak delima merekah, pinggang ramping seperti kerengga, betis bunting padi, berjalan lenggang itik dan dada bak tekukur diagah.
Majlis ceramah yang sarat dengan perkongsian ilmu dan pengalaman ini telah berakhir pada pukul 12.15 tengahari dengan sesi bergambar antara peserta dan penceramah. Semoga segala perkongsian ceramah ini dapat mengingatkan peserta mengenai asal-usul keturunan bangsa Melayu dan kaum-kaum lain selain mempelajari kehalusan budaya masyarakat terdahulu supaya tidak lapuk dek zaman.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar : Abdul Hadi Mat Taib