PSB ANJUR JAMUAN AIDILFITRI DAN RAIKAN RAKAN PESARA DALAM MAJLIS SANJUNGAN BUDI

PSB Online  – Badan Kebajikan dan Amal (BAKAL) Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berjaya menganjur Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 30 Mei 2022 bersamaan 29 Syawal 1443H bertempat di Auditorium 2, Bangunan Tambahan PSB.

Selain dari berkumpul untuk merayakan Syawal setelah 2 tahun terhalang tidak dapat berbuat demikian, turut diadakan adalah Majlis Sanjungan Budi khusus untuk meraikan persaraan 4 orang staf PSB yang telah menamatkan perkhidmatan  samada bersara wajib ataupun bersara pilihan pada tahun 2022 ini. Di samping itu, buat julung kalinya majlis pada hari ini juga sekali gus meraikan para pesara PSB yang telah lama bersara dan meninggalkan PSB untuk  kembali bertemu mesra bertanya khabar dan  mengeratkan serta menyemarakkan lagi ikatan silaturahim sesama staf yang lama dan yang baharu.

Majlis ini  bermula pada pukul 10.00 pagi dengan ucapan aluan dan penghargaan dari Ketua Pustakawan PSB iaitu Tuan Haji Salleh Hudin Mustaffa. Manakala Encik Razak Siamin, mantan Timbalan Ketua Pustakawan pula dijemput untuk berucap bagi mewakili semua staf yang bersara pada tahun ini. Tidak lupa juga ucapan dari mantan Ketua Pustakawan PSB yang ke-2, Puan Hajjah Jamilah Mohamed turut dijemput menyampaikan ucapan sebagai kenang-kenangan meraikan kehadiran beliau menyerikan majlis. Selesai sesi ucapan, majlis diteruskan dengan sesi tayangan video yang mengamit nostalgia dan memori ketika semua pesara masih aktif bertugas di PSB. Tayangan video kali ini turut menyediakan segmen mengenang kembali staf PSB yang telah kembali ke rahmatullah.

Sebagai tanda penghargaan mengenang jasa dan bakti semasa bertugas di PSB, majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada semua staf yang bersara pada 2022 dan juga kepada staf yang telah bertukar jabatan dari PSB ke jabatan yang lain di Universiti Utara Malaysia (UUM). Setelah selesai semua acara di dalam Auditorium 2, para hadirin dijemput untuk menjamu selera di ruang legar diluar auditorium. Selain dari menyediakan pelbagai hidangan dan juadah yang enak dan menyelerakan, suasana ria sambutan hari raya ini turut diserikan dengan acara cabutan bertuah dan pertandingan busana menarik. Pertandingan ini telah berjaya dimenangi oleh Puan Maziana Bakar dari Bahagian Sumber Ilmu dan juga Encik Mohd Iruan Hussin dari Bahagian  Perkhidmatan Pengguna.

Majlis sambutan hari raya PSB yang penuh warna warni dan meriah berganda dengan kehadiran jemputan istimewa para pesara ini telah berakhir pada pukul 1.00 petang dengan sesi bergambar untuk kenangan manis di masa hadapan. Barisan AJK BAKAL berterima kasih dan menzahirkan rasa gembira serta terharu dengan sokongan semua staf dalam memastikan majlis berjalan lancar, meriah dan penuh makna.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Abdul Hadi Mat Taib