PSB ANJURKAN PROGRAM ‘JOM BACA BERSAMA 10 MINIT’ SEMPENA SAMBUTAN HARI BUKU & HAKCIPTA SEDUNIA

Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengadakan program ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ (Let’s Read Together) bertempat di Sudut Fiksyen, paras 2, bangunan tambahan PSB dalam menyahut seruan Perpustakaan Negara Malaysa (PNM).

Program ini diadakan sempena Hari Buku & Hakcipta Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun. Hari Buku Sedunia buat pertama kalinya diperingati pada tanggal 23 April 1995 dan ianya adalah di bawah selenggaraan Organisasi Pendidikan, Keilmuan, dan Kebudayaan PBB (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization) atau lebih dikenali sebagai UNESCO. UNESCO adalah badan yang bertanggungjawab dalam mempromosikan minat membaca, penerbitan dan hak cipta di seluruh dunia.

Dalam menyahut seruan tersebut, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menyeru semua Perpustakaan di Malaysia untuk berhenti sebentar dari melakukan apa jua pekerjaan atau aktiviti untuk membaca apa jua bahan bacaan selama 10 minit. Program ini bertujuan mendorong rakyat Malaysia membaca, dimulai dengan langkah awal iaitu selama 10 minit dan sebagai tanda komitmen semua pihak terhadap kepentingan membaca dalam kehidupan.

Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan di PSB. Staf dan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) turut terlibat dalam memeriahkan program tersebut. Sebelum program bermula, sedikit taklimat mengenai program itu telah disampaikan oleh Puan Asmaniza Mansor selaku Ketua Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca. PSB secara khususnya telah memilih bahan bacaan novel sebagai bacaan untuk 10 minit tersebut. Novel dipilih kerana ianya adalah bacaan ringan yang dapat menghilangkan tekanan belajar ataupun kerja. Acara ini bermula tepat pada jam 11.00 pagi dan berakhir pada jam 11.10 minit pagi. Pada hari tersebut juga, PSB menggalakkan dan memberi tawaran kepada pengguna untuk membenarkan mereka membuat pinjaman novel walaupun telah melebihi jumlah hak pinjaman.

Disediakan oleh: Norashikin Bt Ibrahim
Gambar: Mohamad Fuzi B Ismail