PSB BERI PENDEDAHAN PREDATORY JOURNAL DAN TEKNIK PENCARIAN JURNAL SCOPUS

PSB Online – Perpustakaan Sultanah Bhaiyah (PSB) telah memenuhi jemputan Jawatankuasa Penerbitan Institut Pengurusan Syariah dan Kewangan Islam (ISGaF), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk berkongsi kepakaran berkaitan “Teknik Pencarian Jurnal Scopus Melalui Pangkalan Data Perpustakaan dan Mengenali Predator Jurnal” pada 24 Jun 2021 yang lalu.

Penceramah undangan dari PSB ialah Cik Mazyana Hashim, Penolong Ketua Pustakawan merangkap Ketua Bahagian Perkhidmatan Pengguna PSB. Taklimat ini telah diadakan secara atas talian Webex dari jam 9.30 hingga 11.30 pagi dan telah dihadiri seramai 102 peserta yang terdiri dari Ahli Akademik, Penyelidik dan Pelajar Pasca Siswazah UUM. Objektif utama taklimat anjuran ISGaIF ini adalah untuk menambah ilmu dan memberi pendedahan serta membantu peserta menghasilkan artikel jurnal yang berimpak tinggi dalam bidang penyelidikan di universiti serta memfokuskan kaedah carian yang betul dan penggunaan pangkalan data Scopus secara berkesan dalam menjalankan aktiviti penyeldiikan, pembelajaran dan pengajaran.

Selain daripada itu, taklimat ini juga turut memberi tumpuan kepada cara mengenal pasti predator jurnal agar peserta tidak mudah terpedaya tanpa disedari atau terburu-buru menghantar penulisan ilmiah kepada jurnal dan penerbit penipu yang akibatnya akan mencalar kredibiliti dan reputasi penulis sebagai seorang ahli akademia dan ilmuan universiti. Pada sesi pertama, Cik Mazyana telah berkongsi teknik berkesan pencarian steps by steps menggunakan enjin carian Scopus melalui kaedah carian menggunakan fungsi documents, author, affiliation dan sources. Selain itu, beliau juga turut memberi tips cara memudahkan pencarian dengan menggunakan teknik refine, subject areas dan juga Boolean operator terutama penggunaan teknik double quotes untuk kecilkan carian. Tidak lupa juga teknik finding words close to one another supaya judul-judul artikel yang dicari tidak tertinggal ketika proses pencarian dilakukan. Para peserta juga turut diberi pendedahan mengenai kedudukan, impak dan prestij sesuatu jurnal dengan kaedah menyemak Quartile Scopus sebagai panduan memilih jurnal terindeks.

Di penghujung sesi taklimat, Cik Mazyana telah membimbing peserta untuk mengenalpasti ciri-ciri predator jurnal, predator conferences dan juga hijack journal. Beliau juga memberi ingatan supaya semua peserta sentiasa berwaspada dan proaktif menyemak kesahihan kewujudan jurnal ilmiah sebelum menghantar sebarang penulisan. Melalui capaian Libguides di laman sesawang PSB, telah disediakan senarai predatory publishing untuk memudahkan peserta membuat semakan. Ini adalah kerana sekiranya seseorang penulis telah terperangkap menghantar dan menandatangani copyright transfer dengan mana-mana penerbit pemangsa, peluang untuk menarik keluar terbitan artikel dari jurnal berkenaan adalah amat tipis.

Taklimat ini telah dikendalikan oleh moderator, Dr. Siti Latipah Harun, Pengurus Wakil Perpustakaan IBS, UUMCOB. Dengan panduan dan bimbingan yang diberikan oleh Cik Mazyana, diharap ianya dapat membantu ahli akademik dan penyelidik UUM dalam menghasilkan lebih banyak penulisan ilmiah yang berkualiti dan mempunyai impak tinggi dan diindeks oleh Scopus dan seterusnya UUM berpeluang lebih cerah untuk menaikkan kedudukannya di dalam ranking global.

​Disediakan oleh: Azniza Ahmad

Gambar oleh: Azniza Ahmad & Mazyana Hashim