PSB BERI TAKLIMAT SECARA ATAS TALIAN DI MINGGU SUAI KENAL SESI 2021/2022

PSB Online  –  Seperti yang diketahui umum, Malaysia masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Situasi ini mengehadkan kehadiran secara fizikal pelajar baharu Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk proses pembelajaran di kampus. Sebagai pelajar baharu, mereka harus memahirkan diri dengan teknologi masakini untuk tujuan pembelajaran secara atas talian. Mereka juga perlu  peka dan fokus  tentang tatacara mengakses kepada kepelbagaian sumber maklumat elektronik di perpustakaan  seperti koleksi  digital atau  perkhidmatan atas talian yang ditawarkan oleh sesebuah Perpustakaan akademik.  Pelajar juga harus menerima hakikat cabaran sebagai pelajar universiti pada era pandemik COVID-19 ini adalah mereka harus segera mengadaptasi budaya mencari maklumat norma baharu yakni dengan bergantung  sepenuhnya pada kaedah pencarian atas talian.

Justeru itu, Pada 05 Oktober 2021, bersempena Minggu Suai Kenal Bersama Pelajar Baharu bagi Sesi 2021/2022 yang diadakan secara maya menerusi Facebook rasmi Universiti Utara Malaysia (UUM Official FB Live), Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah dijemput untuk memberi satu sesi taklimat ringkas bertajuk Navigate Library Resources and Information Literacy kepada semua pelajar baharu UUM. Untuk ambilan semester pertama sesi 2021/2022 ini, seramai 5,082 pelajar baharu telah mendaftar secara online untuk mengikuti  47 program pengajian di UUM.

Taklimat ini telah disampaikan oleh Puan  Fadzilah Hussin, Ketua Unit Pendidikan Pengguna, Bahagian Perkhidmatan Pengguna  PSB pada pukul 3.00 hingga 3.30 petang. Tujuan  utama taklimat ini diadakan adalah  untuk memberi pendedahan secara umum mengenai PSB. Sebagai langkah pemula mengenali sesebuah perpustakaan akademik, Puan Fadzilah telah menerangkan secara ringkas mengenai waktu operasi, peraturan-peraturan perpustakaan, fungsi laman web perpustakaan, jenis perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan kepada semua pelajar baharu. Selain dari itu, semua pelajar juga  diperkenalkan kepada sosial media rasmi PSB  seperti Email, Facebook, Twitter  dan Instagram. Para pelajar juga dinasihatkan segera berhubung dan berinteraksi dengan Pustakawan bertugas, sekiranya mereka memerlukan bimbingan untuk mengakses koleksi PSB atau bagi mendapat sebarang khidmat nasihat. Untuk menarik minat para pelajar melayari laman sesawangnya, pihak perpustakaan turut memastikan laman sesawang PSB mudah diakses, mudah ditelusuri, jelas dan bersifat interaktif kepada semua penggunanya bagi membantu proses pembelajaran mereka di UUM.

Warga kerja PSB mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baharu ke Perpustakaan baik secara fizikal mahupun secara maya. Kami sedia membantu anda mengakses  maklumat terkini, berkualiti dan berimpak tinggi.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar oleh :  Fadzilah Hussin