PSB Online – Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals – SDG) mula dirancang ketika Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September 2015. Sehubungan itu, sebanyak 17 matlamat telah ditetapkan dan perlu dicapai menjelang 2030.
SDG meliputi isu pembangunan sosial dan ekonomi termasuk kemiskinan, kelaparan, kesihatan, pendidikan, pemanasan global, kesetaraan gender, air, sanitasi, tenaga, urbanisasi, alam sekitar dan keadilan sosial. Walaupun sudah 6 tahun SDG diperkenalkan, namun, ia masih kurang mendapat perhatian warga Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Justeru itu, Unit Latihan dan Kualiti PSB telah mengambil inisiatif mengadakan satu Bengkel SDG pada 07 Disember 2021.
Bengkel ini berlangsung secara atas talian menggunakan platform Webex pada pukul 9.30 pagi. Penceramah jemputan ialah Cik Hanie Azyyati Abdul Jamil, Penolong Ketua Pustakawan, dari Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Maklumat Ilmiah PSB. Seramai 40 orang kakitangan PSB hadir mengikuti sesi perkongsian maklumat ini. Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan menerapkan pendidikan SDG dalam kalangan warga PSB.
Oleh kerana pengisian yang padat, bengkel ini telah dibahagikan dan berjalan sebanyak 3 sesi. Pada sesi pertama para peserta diberi pendedahan tentang pengenalan SDG, perincian 17 matlamatnya, SDG di Malaysia dan kaitan SDG dengan perpustakaan. Sesi kedua pula mengenai SDG di UUM dan di akhir bengkel, pada sesi ketiga ceramah memberi fokus mengenai SDG Stories. Untuk menarik perhatian agar peserta bengkel kekal memberi tumpuan kepada kandungan ceramah yang disampaikan, 2 sesi kuiz interaktif telah diadakan dengan hadiah yang menarik menanti para peserta. Sesi kuiz ini telah dikendalikan oleh Cik Noraini Alias, Pustakawan Kanan dari Unit Komunikasi Korporat dan dijalankan menerusi Kahoot iaitu aplikasi kuiz pembelajaran secara online dan menyeronokkan.
Selain dari informasi yang disampaikan oleh Cik Hanie Azyyati, bengkel ini turut menyemput Puan Norma Said, Penolong Ketua Pustakawan dari Bahagian Khidmat Pengurusan PSB untuk berkongsi maklumat mengenai pertandingan SDG Perpustakaan Akademik Universiti Awam yang akan diadakan pada 01 hingga 15 Mac 2022. Untuk itu, PSB diseru untuk mengorak langkah mengenalpasti aktiviti-aktiviti yang menyokong kriteria SDG yang berkaitan dengan PSB dan UUM untuk pengisian laporan pertandingan itu nanti.
Bengkel ini telah berakhir pada pukul 12.30 tengahari dengan mengumumkan nama-nama pemenang kuiz. Semoga semua peserta dan warga PSB memberi komitmen dan sumbangan untuk mempromosi PSB dan peranannya dalam meningkatkan kesedaran mengenai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan seterusnya membantu Malaysia mencapai sasaran agenda 2030.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar : Ishar Md. Zain dan Hanie Azyyati