PSB Online – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) komited dan prihatin dalam menyediakan persekitaran tempat kerja yang kondusif dan sihat kepada semua kakitangannya. Ini adalah kerana setiap pekerja meluangkan lebih kurang 50% masa aktif mereka setiap hari di tempat kerja. Persekitaran tempat kerja yang kondusif akan memupuk ke arah kehidupan yang sihat dan memberi motivasi kepada pekerja untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti penghasilan mutu kerja masing-masing.
Sehubungan itu, pada 2 Mac 2023, Unit Latihan dan Sistem Kualiti PSB sekali lagi mengambil inisatif meneruskan siri Bengkel Kesihatan Minda kepada staf PSB. Kali terakhir Bengkel Kesihatan Minda di adakan adalah pada 3 Jun 2021 dengan tajuk “ Anger Management”. Untuk sesi kali ini “ Minda Sejahtera, Hidup Ceria” adalah tema yang dipilih untuk di sampaikan oleh penceramah jemputan iatu Puan Husna Binti Zainal, Ketua Unit Psikologi (Kaunseling) Institut Kanser Negara.
Bengkel ini telah di adakan secara atas talian Webex dan moderator yang menjadi pengantara ialah Cik Zarith Sofea Binti Zahrin, Pembantu Pustakawan dari Bahagian Perkhidmatan Pengguna PSB. Seramai 84 orang peserta yang rata-rata terdiri dari staf PSB dan kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah hadir untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kepentingan kesejahteraan minda yang sihat dan positif di tempat kerja mahupun dalam kehidupan seharian.
Tujuan utama bengkel ini dianjurkan adalah sebagai pendekatan proaktif dan pencegahan untuk mempertingkatkan kesedaran yang lebih tinggi di kalangan staf PSB akan kepentingan penjagaan kesejahteraan diri, emosi dan kesihatan mental dalam mendepani segala cabaran dan perubahan iklim di tempat kerja.
Antara intipati kandungan yang disampaikan dan dikupas oleh penceramah ialah faktor-faktor risiko yang mempengaruhi kesihatan mental di tempat kerja, tanda-tanda wujudnya isu kesihatan mental di tempat kerja dan mengapa perlu mewujudkan persekitaran tempat kerja yang sihat. Selain itu, sepanjang bengkel berlangsung, Puan Husna juga tidak lokek untuk berkongsi tips dan pesanan untuk membantu staf untuk mengekalkan minda yang sihat dan berdaya tahan bagi menghadapi persekitaran yang di luar kawalan masing-masing.
Bengkel ini telah berakhir pada pukul 12.30 tengahari dengan sesi soal jawab yang dibuka samada secara online atau di ruang chatbox Webex untuk para peserta bertanya soalan kepada penceramah.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar : Azniza Binti Ahmad