Bersempena meyambut Hari Pengasasan UUM yang ke 34 tahun, Badan Kebajikan dan Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL), Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), telah menganjurkan satu aktiviti berbasikal. Aktiviti ini dikenali sebagai “PSB Fun Ride Sempena UUM 34 Tahun!” dan ianya telah diadakan pada 15 Februari 2018 yang lalu dan telah berjaya menarik minat ramai peserta di kalangan warga PSB.
Seawal jam 8.00 pagi, kesemua peserta dilihat telah berada di tempat berkumpul iaitu di Jabatan Hal Ehwal dan Pelajar (HEP) dan bersiap sedia untuk memulai aktiviti ini. Kesemua mereka telah diingatkan untuk menepati masa kerana pada hari yang sama juga, terdapat aktiviti kayuhan basikal daripada jabatan lain juga dan untuk mengelakkan sebarang masalah mereka diminta untuk sampai tepat pada waktunya. Sebelum memulakan kayuhan, kesemua peserta telah diberi taklimat ringkas oleh staf di Jabatan HEP tentang cara-cara asas penggunaan basikal tersebut. Taklimat ini adalah penting kerana basikal yang dinaiki ini merupakan basikal elektrik dan mempunyai ciri dan fungsi tertentu yang sedikit berlainan daripada basikal yang biasa dinaiki oleh kebanyakkan orang. Oleh itu, kesemua peserta dilihat begitu fokus dan teruja ketika taklimat diberikan. Aspek keselamatan juga turut ditekankan dan peserta perlu mendengar dan peka terhadap setiap arahan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kecederaan sepanjang aktiviti ini.
Selesai taklimat, kayuhan dimulakan secara berkumpulan menuju ke destinasi pertama iaitu Anjung Tamu UUM dan seterusnya bergerak ke Taman Burung Unta dan Taman Rusa. Setelah berehat sebentar, kayuhan dimulakan lagi ke Puncak Vista dan ia merupakan destinasi terakhir aktiviti ini sebelum kesemua peserta berpatah balik ke Jabatan HEP semula. Laluan ini dipilih adalah kerana ianya merupakan tempat yang menarik dikunjungi di UUM disamping menikmati keindahan alam semula jadi yang dapat dimanfaatkan oleh peserta untuk merakam foto dan video sebagai kenang-kenangan.
Walaupun jelas terpamer wajah kepenatan pada kesemua peserta, namun mereka berasa amat gembira dapat menyertai aktiviti yang julung-julung kali diadakan ini kerana ianya bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim malah ianya dapat menghilangkan tekanan bekerja selain memupuk gaya hidup yang sihat di pelbagai peringkat umur. Sepanjang kayuhan dimulakan, kesemua peserta sentiasa bekerjasama dengan saling ingat-mengingati rakan yang berada di belakang dengan membuat kayuhan pada kelajuan yang sama dan bergerak secara berkumpulan kerana aktiviti ini adalah bertujuan untuk memupuk jalinan kasih sayang dan harmoni sesama peserta. Program ini telah berakhir dengan lancar pada jam 11.45 pagi. Semoga aktiviti sebegini dapat dianjurkan dengan lebih kerap lagi dalam membentuk warga PSB yang aktif dan cergas.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail