PSB GEMBIRA MENERIMA KUNJUNGAN LAWATAN KUMPULAN BERFOKUS DARI PSNZ UMT

PSB Online  – Baru-baru ini, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berbesar hati menerima kunjungan dari kakitangan Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 25 Mei 2023.

Ini adalah lawatan kumpulan berfokus melibatkan seramai 30 kakitangan PSNZ yang terdiri daripada 12 orang  Pustakawan, 17 orang Pembantu Pustakawan dan seorang Pembantu Operasi. Rombongan ini diketuai sendiri oleh Ketua Pustakawan PSNZ iaitu Tuan Haji Abu Hassan Haji Ghazali yang juga merupakan mantan Penolong Ketua Pustakawan PSB. Rombongan PSNZ selamat sampai di perkarangan Foyer PSB pada pukul 10.00 pagi dan telah disambut mesra oleh Puan Norma Said, Penolong Ketua Pustakawan yang menjalankan Fungsi Ketua Pustakawan PSB bersama Ketua – Ketua Bahagian yang lain yang turut serta menyambut ketibaan rakan sekerja mereka dari UMT.

Antara fokus utama lawatan ini adalah untuk melihat tatacara dan prosedur perkhidmatan berkaitan perpustakaan yang boleh ditambahbaik dalam menyediakan perkhidmatan Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah. Selain daripada itu, lawatan ini juga bertujuan untuk berkongsi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman di antara staf PSNZ dan PSB di samping dapat mempelajari sesuatu yang baharu dan terkini dari PSB agar dapat mencerna minda dan idea untuk diaplikasikan di PSNZ nanti. Tidak terhad kepada itu sahaja, lawatan ini juga adalah untuk menjalin dan mengeratkan lagi hubungan  dan kerjasama sesama kedua-dua institusi agar kolaborasi dan perancangan masa hadapan dapat diusahakan ke arah kecemerlangan institusi masing-masing.

Seusai sesi taklimat ringkas mengenai UUM dan PSB di Auditorium 1, peserta lawatan telah dibawa melawat ke beberapa bahagian mengikut fokus kerja masing-masing. Antara Bahagian yang terlibat adalah Bahagian Arkib Universiti, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Maklumat Ilmiah, Bahagian Perkhidmatan Pengguna dan juga Bahagian Sumber Ilmu. Kerjasama dan layanan yang baik juga telah ditunjukkan oleh semua warga PSB sepanjang proses penandaarasan berlangsung.

Lawatan kerja ini telah berakhir pada pukul 1.00 tengahari seusai sesi penyampaian cenderahati dan juga bergambar antara staf pengurusan PSB dan PSNZ di hadapan Professors’ Corner. Selain itu lawatan ini juga diserikan dengan sesi menandatangani buku pelawat untuk rekod lawatan dan juga sebagai kenang-kenangan jalinan persahabatan antara Perpustakaan Akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia. Sesi penyampaian cenderahati ini telah disempurnakan oleh Puan Rahimah Ishak, Penolong Ketua Pustakawan, Bahagian Sumber Ilmu, PSB.

Sebelum berangkat pulang, rombongan PSNZ juga telah berkesempatan melawat Muzium Pengurusan UUM. Di sini kakitangan PSNZ dibawa menelusuri sejarah Sintok, meninjau perkembangan UUM sebagai sebuah universiti yang berteraskan pengurusan dan juga melihat pameran konservasi artifak-artifak yang dipulihara untuk tatapan generasi masa hadapan.

Semoga lawatan yang bermanfaat ini dapat membuka minda yang sihat antara staf PSB dan PSNZ agar lebih bersemangat lagi untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, personaliti, imej dan juga kualiti kerja di Perpustakaan. Sesungguhnya lawatan penandaarasan adalah langkah yang baik ke arah penambahbaikan berterusan serta berkesan sejajar dengan visi dan misi perpustakaan masing – masing.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar : Syed Muhammad Amirul Ashraf Bin Syed Ismail