PSB HIDUPKAN SEMANGAT MEMBACA DENGAN BEDAH BUKU “PUTERA RAJA DI BUMI SINTOK”

PSB ONLINE: 20 Februari 2025- Perpustakaan Sultanah Bahiyah telah mengadakan program Bedah Buku Siri Ke-16 yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Kasri bin Saidon, iaitu penulis buku bersejarah tersebut. Beliau bergerak aktif dalam Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) sebagai Ketua Biro Kajiselidik. Beliau juga merupakan salah seorang tenaga pengajar di Pusat Pengajian Pendidikan UUM.

Program ini memberi gambaran secara langsung kepada penonton tentang kandungan dan pengalaman penulis semasa menghasilkan buku ini. Beliau menyatakan hasrat mantan Naib Canselor UUM ke-8, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Hj. Abdul Ghani, untuk menghasilkan sebuah buku yang menceritakan tentang tonggak bagi warga UUM iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Sultan Negeri Kedah yang merupakan Canselor UUM. Beliau turut menyatakan bahawa “kita seolah-olah mengenali Sintok dan UUM tetapi kita tidak mengetahui payung, negeri dan individu yang menjadi tonggak kepada kejayaan kita di sini” katanya.

Buku yang sangat menarik lagi penuh nilai sejarah ini diceritakan dengan baik oleh Dr. Mohd Kasri, penulisnya sendiri. Beliau menceritakan mengenai kisah hidup, kronologi dan liku-liku kehidupan Baginda. Kisah hidup ini bermula daripada kehidupan awal Baginda semasa di Istana sehingga zaman persekolahan di Sekolah Melayu Alor Merah dan Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah. Atas saranan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Baginda mengambil keputusan bagi menyertai latihan ketenteraan di Indian Military Academy, Dehradun, India.

Beliau turut menyatakan sifat keperibadian Baginda yang sangat berjiwa rakyat dan Baginda merupakan seorang yang very well-versed tentang sejarah. Beliau turut menceritakan Baginda akan membetulkan fakta malahan turut menyatakan idea untuk membantu menguatkan lagi fakta tersebut. Sesungguhnya, kawasan Sintok inilah menjadi medan sejarah yang dahulunya bergelora dengan ancaman musuh bertukar menjadi medan ilmu mendidik anak bangsa. Beliau turut menyatakan menjadi satu kepuasan dalam menyiapkan buku “Putera Raja Di Bumi Sintok” ini, kerana buku ini memberi banyak motivasi untuk beliau terus berkarya lagi.

Program Bedah Buku pada kali ini, bukan sahaja memberi peluang kepada penonton untuk memahami lebih mendalam tentang sejarah dan keperibadian tokoh yang dihormati, malahan turut menginspirasikan mereka untuk menghargai warisan dan sejarah negeri Kedah. Semoga bedah buku seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk terus memupuk minat membaca dan menghargai sejarah dalam kalangan masyarakat.

Disediakan oleh: Siti Ainsyah binti Kamis
Gambar oleh: Nasiha binti Abdul Rashid