PSB Online – Menerima lawatan audit secara atas talian sememangnya telah menjadi kebiasaan buat Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam meneruskan kecemerlangan sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang terbaik.
Dalam mengekalkan kecemerlangan tersebut, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) juga tidak terkecuali dalam menyumbang ke arah itu. Ini kerana PSB adalah antara nadi utama dalam melahirkan graduan yang berjaya. Pada 7 Februari 2021, PSB telah menerima satu Lawatan Audit Pematuhan Akreditasi Program PHD secara maya melalui Pusat Pengajian Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), UUM.
Menggunakan aplikasi Cisco Webex, sesi lawatan audit secara atas talian ini telah diadakan tepat jam 4.00 petang. Fokus audit ini adalah untuk melihat kemudahan fasiliti yang tersedia untuk kegunaan pelajar-pelajar pasca siswazah. Mengendalikan sesi lawatan audit ini adalah Pn. Wan Hanis Kamarruddin, Pustakawan dari Unit Perkhidmatan Maklumat Ilmiah. Baliau telah memulakan proses audit ini dengan sesi penerangan mengenai latarbelakang, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di PSB. Para panel telah dibawa secara maya melihat sekitar Bilik ‘Postgraduate Learning Commons’ yang bertempat di Paras 2, Bangunan Tambahan, PSB. Bilik ini adalah tumpuan utama para pelajar pasca siswazah selain Bilik 24 Jam yang telah disediakan. Selain itu, proses audit ini juga turut dibantu oleh Cik Noraini Alias, Pustakawan dari Unit Komunikasi Korporat yang bertanggungjawab untuk menerangkan mengenai Makmal Komputer serta ruang bacaan dan kemudahan yang ada berdekatan lokasi tersebut.
PSB adalah sangat komited dalam memberikan yang terbaik untuk menjayakan lawatan audit yang semakin menjadi kebiasaan kini. Dari semasa ke semasa, PSB akan memperbaiki segala kelemahan agar proses audit menjadi lancar tanpa sebarang masalah. Selain pengetahuan yang mendalam mengenai perpustakaan, persiapan yang lengkap dan teliti seperti capaian internet, kapasiti telefon pintar dan lain-lain juga perlu dititikberatkan apabila menghadapi audit secara atas talian ini.
Sesi audit ini telah berakhir sekitar jam 4.30 petang.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Wan Hanis Kamarruddin