PSB KOMITED MENJAYAKAN PROGRAM GOTONG-ROYONG PERDANA UUM

PSB Online  – Kakitangan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah memberi komitmen yang tinggi untuk menjayakan Program Gotong Royong Perdana  Kampusku Lestari Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 14 Jun 2022. Antara matlamat gotong royong ini diadakan adalah bagi mengindahkan kawasan universiti dengan hasrat  memberi manfaat dan  keselesaan kepada warga kampus  khususnya kepada para pelajar UUM. Selain dari itu, aktiviti sedemikian juga dilihat dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama warga kerja di samping menceriakan persekitaran kampus.

Sesi perasmian program ini telah diadakan di Foyer PSB dan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UUM iaitu Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah. Setelah selesai majlis perasmian, semua staf PSB berkumpul mengikut kumpulan yang telah ditetapkan untuk mendengar taklimat dari ketua kumpulan masing-masing  tentang gerak kerja pembersihan yang melibatkan kawasan yang agak luas untuk diliputi dan dibersihkan dalam masa 4 jam sahaja. Selain daripada itu, para peserta program juga  perlu mendapatkan peralatan pembersihan yang telah disediakan untuk  kerja-kerja pembersihan mengikut  lokasi yang  telah ditentukan.

Aktiviti  gotong-royong pembersihan ini melibatkan 4 kumpulan gerak kerja di kalangan warga PSB. Antara aktiviti gotong-royong yang ditetapkan adalah, Kumpulan 1  bertangungjawab mencuci longkang belakang Bangunan Utama dan sekeliling Bangunan Tambahan. Kumpulan 2 pula perlu  membersih semua tangga dan pemegang tangga laluan kecemasan  yang terdapat di Bangunan Utama dan Bangunan Tambahan. Sementara itu Kumpulan 3 dikehendaki memastikan semua  ‘duct tape’  di meja, lantai Foyer dan tangga  PSB  dikikis dan dibersihkan,  membersih longkang hadapan Bangunan Utama dan juga laluan Loading Bay. Manakala, kumpulan 4 pula perlu memangkas, mencabut, menyapu daun dan membuang sampah-sampah di  kawasan sekitar Bangunan Tambahan.

Program gotong royong  perdana peringkat universiti ini telah berakhir pada pukul 12.45 tengahari. Pihak pengurusan PSB mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama dan sumbangan tenaga semua staf yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga program gotong royong ini dapat memupuk semangat kerjasama dan merapatkan ukhuwah di kalangan warga kerja PSB.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  PSB Official Whatsapp Group