
PSB Online – Pengautomasian Pusat Sumber Sekolah (PSS) ialah proses transformasi operasi asas pemerosesan bahan-bahan koleksi seperti perolehan dan pengkatalogan serta fungsi sirkulasi bahan–bahan yang sebelum ini dikendalikan secara manual sahaja kepada elektronik. Menyedari hal itu, Cikgu Devi a/p Arumugam, Guru Perpustakaan dan Media Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Changloon telah mengambil initiatif menghubungi Bahagian Sistem Maklumat, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kepakaran tatacara proses mengautomasi sistem mengurus semua koleksi bahan Pusat Sumber di sekolahnya.
Untuk itu, pada 02 Mei 2021, seramai 3 orang kakitangan PSB iaitu Puan Zuraidah Darus, Pustakawan Unit Sistem Komputer Perpustakaan, Encik Mohd Shazwan Nabil Shukor, Pegawai Teknologi Maklumat, Unit Teknologi dan Cik Nur Darina Khairil Anwar, Pustakawan Unit Metadata, Pengindeksan dan Abstrak, Bahagian Sumber Ilmu PSB telah melakukan lawatan untuk menawarkan khidmat dan nasihat ke sekolah berkenaan .
Rombongan PSB telah sampai di SJKT pada pukul 9.00 pagi dan disambut mesra oleh Cikgu A.Devi. Mereka terus di iring ke PSS dan diberi taklimat ringkas mengenai koleksi dan kemudahan yang disediakan disitu. Menurut Cikgu A. Devi “matlamat utama kami menghubungi pihak PSB ialah untuk meminta bantuan menaik taraf dengan pengautomasian PSS kami dari kaedah manual kepada Pusat Sumber Berelektronik. Dengan itu kami berharap PSS ini dapat memainkan peranan yang lebih optimum kecekapannya dan lebih berkesan dalam mempertingkatkan lagi proses pembelajaran pelajar kami”
Dalam lawatan itu, Puan Zuraidah dan Encik Mohd Shazwan telah meneliti dan memeriksa kelengkapan peralatan teknologi maklumat yang disediakan di Kaunter Sirkulasi PSS seperti kelengkapan komputer dan keupayaan komputer berkenaan. Mereka juga telah memberi khidmat nasihat agar komputer berkenaan dinaik taraf supaya dapat beroperasi dan berfungsi dengan baik untuk proses memasang sebarang Sistem Perpustakaan Bersepadu (ILS) kelak. Setelah selesai pemeriksaan, mereka mencadangkan supaya komputer berkenaan dibawa pulang ke PSB untuk proses naik taraf dan mencadangkan untuk dipasang dengan sistem bersepadu iaitu ILS KOHA untuk kegunaan PSS SJKT Changloon.
Sebagai Pustakawan yang bertanggungjawab mengendali proses perolehan dan pengkataloging bahan koleksi di PSB, Cik Nur Darina turut mengambil kesempatan menyemak buku-buku yang terdapat disitu dan memberi khidmat nasihat kepada Cikgu A. Devi akan kepentingan catatan nombor perolehan dan klasifikasi bahan yang betul menurut Sistem Pengkelasan Persepuluhan Dewey.
Turut meluangkan masa menyertai sesi mendengar khidmat nasihat itu adalah Puan C. Vasugi, Guru Besar sekolah berkenaan yang ternyata amat gembira akan kehadiran rombongan PSB. Menurutnya “saya tidak menyangka PSB cepat memberi tindakbalas dan sokongan untuk sekolah saya mewujudkan impian PSS berelektronik seperti yang terdapat di PSS sekolah sekolah kejiranan kami”.
Lawatan ini telah berakhir pada pukul 10.30 pagi dengan sesi menandatangani buku lawatan serta perancangan dan persetujuan bersama bahawa PSB akan melakukan proses pemasangan sistem bersepadu ILS KOHA dan seterusnya membantu memberi latihan secara hands-on tentang proses dan tatacara menggunakan aplikasi ILS KOHA di Makmal Komputer PSB nanti.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar oleh : Azniza Binti Ahmad