PSB LAKSANA GOTONG-ROYONG AMALAN 5S NORMA BAHARU

PSB Online – Jawatankuasa 5S Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengadakan satu aktiviti Gotong-Royong Perdana 5S Peringkat Jabatan pada 12 dan 13 September 2021  bermula dari jam 9.00 pagi hingga 4.45 petang. Aktiviti gotong-royong peringkat jabatan merangkap peringkat Zon 5S ini adalah aktiviti tetap tahunan dalam kalendar aktiviti di PSB.

Objektif utama program ini selain dari untuk mengekalkan keceriaan dan suasana kondusif di PSB, ianya juga adalah bagi memupuk kesedaran 5S dalam kalangan staf Perpustakaan serta sebagai persediaan  akhir menghadapi Audit Penilaian Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S peringkat universiti bagi tahun 2021. Penilaian ini dijangka berlangsung secara maya dari 1 hingga 15 Oktober 2021.

Sebelum aktiviti bermula, semua ahli zon 5S di PSB telah menerima senarai kriteria audit 5S 2020 mengikut norma baharu serta senarai ringkasan teguran dan pemarkahan daripada juruaudit semasa Penilaian Persekitaran Berkualiti QE/5S Universiti bagi tahun 2020 yang lalu untuk semakan dan tindakan penambahbaikan mengikut zon masing masing.

Program gotong-royong kali ini memberi lebih tumpuan  kepada  pelaksanaan amalan 5S dengan tambahan komponen norma baharu di semua Bilik Mesyuarat,  Kaunter , Pantri, Stor, Bilik Fail, Surau dan Tandas mengikut kriteria pemarkahan norma baharu. Selain dari semua lokasi tumpuan berkenaan, Jawatankuasa 5S PSB juga menetapkan supaya  semua staf PSB memberi kerjasama dan komitmen bagi memastikan ruang kerja masing masing bersih, kemas, selamat, kreatif dan tersusun rapi.

Selari dengan garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM), semua staf perlu menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memakai pelitup muka, mematuhi penjarakan fizikal, memakai sarung tangan serta mencuci tangan dengan langkah yang betul sepanjang melakukan aktiviti ini. Semua Ketua Zon juga diingatkan untuk mengambil gambar sebelum dan selepas aktiviti pelaksanaan 5S untuk tujuan rekod dan bukti kepada juruaudit ketika proses audit 5S dilaksanakan kelak.

Secara keseluruhannya, program ini telah mendapat kerjasama dan komitmen dari semua warga PSB yang menjadi tunjang kepada kejayaan amalan pelaksanaan 5S di PSB selama ini. Selain dari itu, aktiviti ini dilihat telah mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara staf PSB ketika menghadapi cabaran pandemik COVID-19 di UUM. Ini kerana, ramai antara staf sudah lama tidak bersemuka secara fizikal dalam aktiviti santai begini ekoran arahan berkerja dari rumah (BDR) atau sekiranya hadir bekerja di pejabat, tumpuan hanya untuk bekerja di ruang pejabat masing-masing dan kurang berinteraksi dan bersosial sesama rakan setugas dari bahagian dan bangunan yang lain di PSB.

Program Gotong-Royong Perdana ini diharap memberi impak yang tinggi dalam menyokong usaha PSB kekal menjadi antara organisasi yang cemerlang di UUM dan seterusnya mewujudkan persekitaran kerja yang produktif, bersih dan selamat ke arah sistem penyampaian perkhidmatan perpustakaan yang  berkualiti, berprestasi dan cemerlang.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar oleh :  Siti Suriyani Muhamad