PSB Online – Pada 07 September 2022, seramai 5 orang staf Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah melakukan lawatan tapak ke Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sekolah Kebangsaan Seri Perdana, Alor Setar, Kedah bagi mengadakan tinjauan untuk melaksana satu projek khas yang dirancang iaitu Program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bersama sekolah berkenaan.
Staf yang terlibat untuk melaksanakan tinjauan ini ialah Puan Zuraidah Darus, Pustakawan Kanan dari Unit Sistem Komputer Perpustakaan, Cik Nur Darina Khairil Anwar, Pustakawan dari Unit Metadata, Pengindeksan dan Abstrak, Puan Wan Hanis Kamarruddin Pustakawan dari Unit Perkhidmatan Maklumat Ilmiah, Cik Noraini Alias Pustakawan Kanan dari Unit Komunikasi Korporat, dan Cik Azniza Ahmad Pembantu Pustakawan dari Unit Komunikasi Korporat.
Objektif lawatan ini ialah untuk mengumpul input yang berkaitan bagi memenuhi hasrat PSB untuk menaik taraf dan membantu memantapkan PSS sekolah ini dari segi kepakaran dan perkongsian ilmu serta memenuhi keperluan semasa dan terkini dalam menggalakkan elemen teknologi dan pendigitalan sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). PSB juga berhasrat melengkapkan PSS ini dengan mengintegrasikan sistem automasi secara atas talian yang boleh diakses dengan mudah serta meningkatkan kualiti pengurusan dan perkhidmatan PSS yang lebih efektif dan produktif.
Kehadiran rombongan lawatan dari PSB telah disambut oleh Cikgu Nor Habibah Bt. Sulaiman selaku Guru Penasihat dan penyelaras PSS dan juga Cikgu Wan Hasmiza Bt. Kamarruddin Guru Penolong Penasihat yang mengelola PSS sekolah. Turut hadir mengalukan lawatan ialah Guru Besar sekolah ini iaitu Cikgu Kamarulzaman Che Nik.
PSS sekolah ini dipilih menjadi lokasi pilihan untuk Program Matlamat Pembangunan Mampan PSB adalah kerana PSS sekolah ini masih menggunakan sistem manual dalam mendaftar perolehan buku dan pengkatalogan. Sistem sirkulasi dan perkhidmatan pengguna PSS juga masih secara manual iaitu meminjam bahan dengan menulis butiran peminjam di dalam buku daftar pinjaman.
Hasil dari tinjauan ini PSB akan mencadangkan beberapa perubahan yang akan dilaksanakan. Di samping itu PSB juga akan berusaha untuk mendapatkan dana samada melalui sumbangan atau tajaan demi untuk menjayakan proses transformasi ini. Semoga usaha menaik taraf PSS dari cara tradisional kepada pusat sumber berelektronik dapat membantu SK Seri Perdana dalam memainkan peranan yang lebih berkesan dalam mempertingkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran demi mencapai kecemerlangan sekolah.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar : Urusetia projek