PSB LAKSANA PROJEK MATLAMAT PEMBANGUNAN MAMPAN (SDG) DI KOMPLEKS ASRAMA ANAK YATIM DAN MISKIN BAITUL EHSAN, KAMPUNG PERIK KEDAH

PSB Online –  Baru-baru ini, sebuah Projek Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) telah berjaya dilaksanakan melalui kerjasama antara Bahagian Arkib Universiti dan Jawatankuasa 5S Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Projek ini menyasarkan kepada penghuni di Kompleks Asrama Anak Yatim dan Miskin Baitul Ehsan, Kampung Perik, Kedah pada 23 Ogos 2022 yang lalu. Antara objektif utama projek ini dilaksanakan adalah untuk membantu anak-anak yatim dan miskin ini dari segi keperluan sumber-sumber ilmu dan keperluan-keperluan lain untuk pembelajaran dan pendidikan mereka. Selain itu, antara tujuan lain lagi adalah untuk mewujudkan silaturahim dan hubungan baik (engagement) antara UUM dan pihak pengurusan asrama berkenaan dan semua anak yatim dan miskin di bawah pengurusan dan penjagaan mereka. Projek ini juga dirasakan mampu untuk mendorong anak-anak yatim dan miskin ke arah minat membaca untuk memperolehi ilmu bagi membantu mereka meneruskan kehidupan dalam pembelajaran dan kehidupan seharian mereka.

Kejayaan projek ini adalah hasil usaha penggemblengan tenaga dan kerjasama antara 23 orang staf PSB. Antara aktiviti yang dilakukan semasa pelaksanaan projek adalah menaiktaraf perkhidmatan dan kemudahan Pusat Sumber seperti gotong-royong membersih kawasan bilik belajar, dorm asrama, surau, dan tandas. Selain itu, peserta terlibat juga turut memotong rumput dan menanam pokok hiasan landskap bagi mewujudkan suasana yang ceria dan mengembirakan penghuni asrama.

Selain dari itu, antara sumbangan diperolehi untuk dikongsi bersama penghuni asrama tersebut adalah seekor kambing untuk jamuan makan tengahari hasil sumbangan daripada ZulHas Farm Enterprise. Kelengkapan set alat tulis oleh Ketua Unit Arkib Media Digital, buku cerita kanak-kanak dan buku akademik oleh Bahagian Sumber Ilmu (Hadiah), Set cenderamata oleh PSB, alat permainan seperti bola tampar, bola sepak, bola tenis oleh Pusat Sukan UUM, alatan-alatan membersih seperti penyapu, mop, penyapu sawang, penyodok sampah, berus lantai oleh Restoran Rusni Tomyam, Changlun, Tikar getah oleh Ketua Pustakawan, Ketua Unit Sistem Komputer Perpustakaan bersama En. Khairul Munawwar dari IMBRe. Selain itu, cadar turut disumbangkan oleh Ketua Unit Metadata Pengindeksan  dan Abstrak bersama Ketua Unit Sistem Komputer Perpustakaan. Antara tambahan bahan sumbangan adalah keperluan bilik asrama seperti penyangkut baju, bakul baju, pewangi bilik, rak kasut, kotak pamphlet serta sumbangan wang tunai sejumlah RM250 lebihan dana tabung bencana banjir Baling oleh Badan Kebajikan dan Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL) untuk kegunaan penghuni asrama yang memerlukan.

Projek ini berakhir pada jam 6 petang serta turut dihadiri oleh YB Hj Munir bin Hj Zakaria, ADUN Kawasan Kuala Nerang, Kedah.

 

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Abdul Hadi Mat Taib