PSB Online – Pada 14 April 2021, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berbesar hati menerima seramai 10 orang ahli Jawatankuasa 5S INASIS MISC dan BSN (MiSN) untuk mengadakan satu lawatan penanda arasan budaya amalan persekitaran berkualiti QE/5S bernuansa perpustakaan.
Lawatan yang diketuai oleh Pengetua MiSN iaitu Encik Suhaimi Ismail ini telah sampai di Foyer PSB pada pukul 11.00 pagi dan disambut oleh Puan Hasma Haji Harun, Penolong Ketua Pustakawan dengan diiringi oleh beberapa ahli Jawatankuasa 5S PSB yang lain. Turut sama mengalukan kehadiran pelawat kali ini ialah ketua-ketua zon lantikan sesi 2021/2023. Selaras dengan norma baharu, sebelum masuk, semua ahli rombongan INASIS MiSN telah diminta mengimbas suhu badan, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengimbas aplikasi MySejahtera di pintu masuk Utama PSB. Sejurus itu, semua ahli rombongan diiring ke Bilik Mesyuarat, 1 Bangunan Tambahan PSB untuk sesi taklimat 5S.
Taklimat ringkas mengenai sejarah pelaksanaan dan pencapaian 5S di PSB telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa 5S iaitu Puan Rahimah Ishak, Penolong Ketua Pustakawan, Bahagian Sumber Ilmu, PSB. Menurut Encik Suhaimi “antara objekif lawatan kami ini adalah sebagai satu usaha untuk mempelajari dan melihat dengan lebih dekat lagi keberkesanan amalan 5S yang telah dipraktikkan di PSB di samping perkongsian idea segar, kreatif dan inovatif untuk kami implimentasikan di INASIS kami. Kami juga memilih PSB sebagai lokasi lawatan kali ini adalah bertepatan dengan beberapa pencapaian yang telah perolehi antaranya pencapaian Johan Jabatan A baru baru ini.”
Selesai sesi taklimat, memenuhi hasrat rombongan untuk mendapat gambaran yang lebih jelas, mereka telah dibawa melawat ke Zon Intan di Aras 3 Bangunan Tambahan. Di sini, peserta lawatan berpeluang melihat tayangan video pendek mengenai pelaksanaan 5S dan inovasi-inovasi yang dihasilkan oleh semua zon di PSB pada tahun 2020. Seterusnya, rombongan dibawa melihat sendiri inovasi yang memenangi tempat kedua pertandingan inovasi antara zon 5S PSB iaitu sebuah “ step hand sanitizer dispenser”, kotak payung dan cawan minuman. Setelah itu, rombongan bergerak melihat Sudut 5S Zon Zamrud di Aras 2 dan juga ruangan pejabat Bahagian Perkhidmatan Pengguna. Rombongan juga turut diberi taklimat ringkas mengenai servis Kaunter Perkhidmatan Pelanggan dan berpeluang meninjau Bilik Pasca siswazah.
Lawatan ini berakhir pada pukul 12.45 tengahari dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati sebagai kenangan dan juga untuk rekod aktiviti 5S di jabatan masing-masing. Semoga lawatan ini memberi semangat dan inspirasi untuk INASIS MiSN menjadikan amalan 5S sebagai satu budaya dan seterusnya meraih kejayaan johan di masa hadapan.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar : Siti Suriyani Muhamad