PSB MENJADI ‘TUAN RUMAH’ PERHIMPUNAN BULANAN STAF UUM DAN PROGRAM SUKAN RAKYAT BAGI PENUTUP TIRAI TAHUN 2022

PSB Online: Baru-baru ini, merupakan giliran Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dipilih sebagai penganjur Perhimpunan Bulanan Staf Dan Program Sukan Rakyat 2022 yang bertempat di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 13 Disember 2022.

Objektif penganjuran program ini adalah untuk memberi nafas baharu kepada membudayakan penjagaan kesihatan fizikal dan mental warga staf UUM melalui aktiviti sukan dan riadah yang berterusan.

Seawal 7.30 pagi, kelihatan sebilangan staf UUM mewakili pelbagai jabatan mula memenuhi ruangan stadium dengan menepati tema pakaian iaitu pakaian sukan berselempang kain batik (staf wanita) dan pelikat (staf lelaki) untuk mengimbas kod QR mengikut acara yang disertai.

Seusai ucapan pembukaan oleh Naib Canselor, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah, majlis diteruskan dengan slot ‘Senam Sihat’ yang diketuai Mohamad Sayazi Abdul Mutalib dan sebilangan staf Pusat Sukan UUM.

Antara sukan rakyat yang dipertandingkan pada kali ini adalah seperti Tarik Upih Kelapa, Bawa Bola Ping-Pong Dalam Sudu, Musang Berjanggut, Semakin Jauh Semakin Sayang, Rantaian Kasih, Bowling Kelapa Dan Botol, Cari Gula-Gula Dalam Tepung, Basikal Perlahan Dan Tarik Tali.

Seterusnya, acara yang ditunggu-tunggu ramai iaitu sesi Cabutan Bertuah yang bernilai lebih RM 20,000 melibatkan hadiah-hadiah utama seperti  LG 4K Smart TV 50’’, Peti Ais Panasonic 210L , Mountain Bike Freestorm MTB , Basikal Lipat Camp,  Haier Smart TV 43’’ , Haier 9 kg Auto Washer Machine.

Menariknya, Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan UUM juga selaku penaja utama program turut menaja 10 buah nombor plat UUM untuk diberikan kepada pemenang bertuah.

Dalam pada itu, Encik Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan PSB tidak lupa merangkapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas usaha dan kerjasama semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan acara ini.

 

 

Disediakan oleh: Zarith Sofea Zaharin

Gambar oleh: Abdul Hadi Mat Taib