PSB MENJANA PEMIKIRAN KRITIS DAN KREATIF DI KALANGAN STAF MELALUI PERTANDINGAN RESENSI BUKU

Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan Pertandingan Resensi Buku di kalangan stafnya pada 2 Oktober 2014 (Khamis) yang lalu bertempat di Auditorium 1, Perpustakaan. Pertandingan yang berlangsung selama 3 jam ini, disertai seramai 6 orang peserta dari pelbagai bahagian dan unit di PSB. Antara judul-judul buku yang menjadi pilihan peserta adalah Sutera Bidadari, M.A.I.D., Tip-Tip Cemerlang Daripada Al- Quran, Aku Bercerita, Steve Jobs dan Cerita Cinta Ahmad Ammar.

Pertandingan ini telah diadili oleh 3 orang juri jemputan iaitu Dr. Ismail Yusuf, mantan Pensyarah Pusat Pengajian Umum, Puan Rosma Ishak, Pegawai Penerbitan, UUM Press dan Puan Hasma Haji Harun, Pustakawan PSB. Pertandingan ini merupakan yang julung kalinya diadakan di PSB bertujuan untuk menggalakkan perkongsian ilmu pengetahuan dan menerapkan budaya kualiti di peringkat organisasi. Selain daripada hanya memberikan informasi atau pemahaman yang komprehensif, pertandingan ini juga mengajak peserta ataupun pembaca itu untuk memikirkan dan membincangkan dengan lebih lanjut mengenai fenomena yang muncul serta membina kemahiran atau kebolehan untuk menjawab persoalan yang timbul jika seseorang melihat buku yang baru diterbitkan atau sebaliknya. Secara tidak langsung, aktiviti seperti ini dapat menjana pemikiran yang kritis dan kreatif di kalangan staf.

Pertandingan ini berakhir pada jam 12.00 tengah hari dan nama para pemenang akan diumumkan pada Majlis Kualiti PSB nanti.

Oleh: Isanuddin Bidin | Gambar oleh: Ishar Md Zain