PSB MERAIKAN PEMENANG INOVASI DAN PENGHARGAAN KEPADA KETUA ZON 5S

PSB Online  –  Satu Majlis Penyampaian Surat Penghargaan dan Hadiah Pertandingan Inovasi  Zon 5S bertemakan norma baharu 2020 telah diadakan pada hari ini, 07 April 2020 di Bilik Mesyuarat Paras 1, Bangunan Utama Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) . Majlis ini telah dianjur oleh Jawatankuasa 5S PSB untuk mengumumkan  pemenang bagi  pertandingan Inovasi  antara Zon 5S yang telah diadakan sepanjang  bulan September 2020 yang lalu. Di samping untuk mengumumkan senarai pemenang Inovasi, majlis ini juga turut meraikan penyampaian surat penghargaan kepada semua Ketua-Ketua Zon lantikan sesi 2019/2020.

Majlis yang bermula pada pukul 9.00 pagi ini telah dipengerusikan oleh  Pengerusi Jawatankuasa 5S PSB iaitu Puan Rahimah Ishak, Penolong Ketua Pustakawan Bahagian Sumber Ilmu PSB.  Turut serta meluangkan masa  menyerikan acara ini  ialah Tuan Haji Salleh Hudin Mustaffa Ketua Pustakawan PSB. Dalam ucapannya, Ketua Pustakawan menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan kemenangan PSB sebagai Johan Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S 2020 bagi kategori Jabatan A  di Universiti Utara Malaysia. Sebagai penghargaan terhadap komitmen dan gerak kerja berpasukan semua ketua Zon dalam memastikan PSB kembali mengungguli anugerah berprestij itu, pihak pengurusan PSB telah sudi menyampaikan surat penghargaan sebagai tanda terima kasih terhadap segala sumbangan yang diberikan oleh mereka.

Kemuncak majlis ini ialah pengumuman pemenang inovasi yang dinanti-nantikan. Pemenang pertama bagi pertandingan ini dimenangi oleh Zon Nilam, diikuti tempat kedua oleh Zon Intan dan seterusnya Zon Delima di tempat ketiga. Hasil inovasi yang dihasilkan oleh ketiga-tiga ahli Zon ini ialah berupa  ‘step hand sanitizer  dispenser’ yang diolah daripada paip  PVC. Semua pemenang menerima sijil kemenangan dan hamper barangan makanan. Majlis ringkas ini selain dihadiri secara bersemuka oleh semua Ketua Zon, ianya juga turut disiarkan secara langsung melalui platfom Cisco Webex untuk tatapan  dan makluman semua warga PSB.

Majlis ini berakhir pada pukul 9.40 pagi dengan sesi bergambar Ketua Pustakawan bersama dengan semua pemenang Inovasi dan Ketua Zon. Semoga PSB dapat mengekalkan momentum pencapaian persekitaran kerja berkualiti dan menjadi tempat tumpuan penandarasan jabatan lain untuk berkongsi ilmu pengurusan 5S yang efisien dan efektif.

PSB mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pemenang inovasi 5S dan jutaan terima kasih kepada semua ketua dan ahli zon atas semangat, sumbangan, dan setiakawan selama ini.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar oleh :  Abdul Hadi Mat Taib