PSB LAKSANA AKTIVITI BAIK PULIH MEJA BACAAN UNTUK KESELESAAN PENGGUNA

PSB Online  –  Seramai 10 orang staf Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah terlibat dalam aktiviti gotong-royong membaik pulih 12 buah meja belajar yang ditempatkan di Foyer PSB. Projek ini adalah bertujuan untuk mengekalkan keselesaan pengguna.

Melalui projek ini, kesemua meja tersebut yang berada di luar bangunan PSB terjejas akibat faktor persekitaran seperti cuaca yang telah mengakibatkan permukaan meja menjadi kotor dan kusam selain beberapa kerosakan minimal yang lain. Keadaan ini  sedikit sebanyak mencetuskan pemandangan yang tidak selesa dan tidak kondusif untuk digunakan oleh para pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dan pengguna PSB khususnya.

Oleh kerana kekangan bajet tahunan  dan galakan ke arah penjimatan perbelanjaan, Unit Penyenggaraan Bangunan, Bahagian Perkhidmatan Pengurusan, PSB  telah mencadangkan agar semua meja berkenaan dibaik pulih dengan menggunakan tenaga dan kemahiran sedia ada staf PSB sendiri.

Ekoran itu, aktiviti gotong-royong dirancang dan dilaksanakan bermula pada 21 Ogos 2022 dan dijangka tamat pada 25 Ogos 2022. Antara proses baik pulih yang dijalankan adalah dimulai dengan mencuci semua kotoran pada permukaan meja. Seterusnya kerja menanggalkan segala kesan kotoron seperti Chewing Gum yang  banyak dilekatkan pada kaki dan bawah permukaan meja. Selepas itu kerja menipiskan kesan kotoran hitam pada kayu bingkai meja dan kaki meja dan diakhiri dengan mengecat dan mengilat semula keseluruhan meja.

Turut meluangkan masa meninjau dan memberi sokongan pada usaha ini ialah Ketua Pustakawan PSB sendiri iaitu Tuan Haji Salleh Hudin Mustaffa. Beliau hadir memberi motivasi dan memuji akan semangat kerja berpasukan dalam memastikan peralatan dan aset PSB dibaik pulih oleh staf PSB sendiri. Menurutnya selain dapat menjimatkan perbelanjaan PSB, aktiviti sebegini dapat merapatkan ukhwah sesama staf dan mewujudkan budaya kerja berpasukan yang harmoni.

Hasil dari usaha baik pulih ini, meja kelihatan seperti baharu diperolehi dan cantik di pandangan mata serta selesa untuk digunakan bagi tujuan pembelajaran di luar bangunan Perpustakaan oleh para pengguna PSB.

Unit Penyenggaraan Bangunan amat berpuashati dengan tranformasi meja yang berjaya dihasilkan oleh aktiviti membaik pulih ini dan mengucapkan ribuan terima kasih atas segala usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh barisan sukarelawan PSB.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar oleh :  Azniza Binti Ahmad