PSB PAMER SEMANGAT KERJASAMA DALAM GOTONG-ROYONG PERDANA 5S

Aktiviti Gotong-Royong Perdana 5S pringkat Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah diadakan selama dua hari bermula pada 29 sehingga 30 April 2019. Aktiviti ini merupakan anjuran Jawatankuasa 5S PSB.

Seawal jam 8.15 pagi, semua warga PSB telah berkumpul di Auditorium 1, Bangunan Utama, PSB untuk mendengar taklimat ringkas mengenai yang telah disampaikan oleh Pn. Rahimah Ishak selaku pengerusi Jawatankuasa 5S PSB. Setelah itu, sekitar jam 9.00 pagi, aktiviti gotong-royong dimulakan mengikut zon masing-masing. Antara aktiviti utama yang dilakukan adalah aktiviti mengecat dinding di setiap zon di Bangunan Utama PSB. Pada tahun ini, Jawatankuasa 5S memperuntukkan sejumlah kos bagi tujuan mengecat supaya ianya menjadi seragam dan seterusnya dapat memberikan nafas baharu kepada persekitaran ruangan dalam bangunan PSB dengan pilihan warna ungu dan putih. Hari pertama aktiviti gotong-royong ini mempamerkan semangat kerjasama yang terbaik dan ukhuwah di kalangan warga PSB.

Seterusnya, hari kedua dimulai dengan sesi senamrobik pada jam 8.15 pagi bertempat di foyer PSB. Aktiviti senamrobik ini adalah bertujuan untuk memberi kecergasan serta ‘warming up’ pada tubuh badan sebelum semua warga menyambung aktiviti mengecat yang tidak sempat dihabiskan pada hari sebelumnya. Bagi tujuan dokumentasi, semua Ketua Zon diingatkan agar memastikan mengambil gambar sebelum dan selepas aktiviti. Selain itu, bagi zon yang tidak terlibat dengan aktiviti mengecat, mereka turut mengambil peluang ini dengan membersih dan mengemas ruang kerja dan zon masing-masing.

Sepanjang tempoh gotong-royong ini, kelihatan setiap warga PSB amat bersemangat dan ceria melaksanakan aktiviti bersama-sama rakan sekerja diselangi dengan gurau senda dan tawa. Aktiviti ini bukan sahaja akan menyediakan ruang kerja yang bersih dan cantik tetapi juga memberikan nilai-nilai positif dalam diri serta mewujudkan kemesraan antara warga PSB.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail