PSB PERLUKAN PEMBAHARUAN YANG MAMPAN UNTUK KEKAL RELEVAN DI MASA HADAPAN

PSB Online: Mengekalkan kerelevanan perpustakaan di mata pengguna masa hadapan, perpustakaan haruslah mengorak langkah mampan ke hadapan dan bersedia ke arah perubahan yang lebih mencabar.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumum oleh Kerajaan bermula 18 Mac 2020 yang lalu bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19, semua rakyat Malaysia disaran untuk kekal di rumah masing-masing dan tidak dibenarkan keluar bekerja kecuali mereka yang bekerja di bidang perkhidmatan asas dan barisan hadapan negara sahaja. Kesemua organisasi tidak dibenarkan beroperasi termasuklah kampus Universiti Utara Malaysia (UUM). Staf telah diarahkan untuk bekerja dari rumah sepanjang tempoh PKP berlangsung. Walaupun servis dan perkhidmatan fizikal tidak dapat diberi kepada pengguna, PSB bertindak dengan lebih aktif mempromosikan penggunaan eResources yang tersedia di dalam laman sesawang PSB agar mereka boleh kekal menggunakan servis dan perkhidmatan PSB walau di mana jua mereka berada. Perkhidmatan eResources ini adalah tersedia secara atas talian dan ianya boleh diakses di mana sahaja dengan bantuan internet. Oleh yang demikian, menerusi Bahagian Perkhidmatan Pengguna, satu pertandingan mencari pengguna paling aktif menggunakan eResources telah dianjurkan bermula 18 Mac sehingga 31 Ogos 2020 yang lalu dan pertandingan menulis cerpen/esei catatan pengalaman pandemik Covid-19 juga turut dianjurkan bermula 9 April sehingga 31 Ogos 2020.

Untuk itu, satu sesi Perbincangan Ketua Pustakawan bersama semua Pustakawan telah diadakan pada 26 Oktober 2020 yang lalu bermula jam 9.00 pagi dan  bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama, PSB. Agenda utama sesi ini adalah untuk mencari pemenang pertandingan tersebut. Ketua Pustakawan iaitu En. Salleh Hudin Mustaffa telah berbesar hati untuk berkongsi sedikit ilmu mengenai cara mengesan pengguna maya perpustakaan. Mereka ini adalah golongan pengguna yang aktif menggunakan servis dan perkhidmatan PSB walaupun mereka tidak hadir secara fizikal ke perpustakaan. PSB sememangnya amat komited dalam menyediakan pelbagai sumber terbaik untuk memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran di kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) ini.  Terdapat perlbagai sumber dan maklumat yang sahih serta berkualiti telah disediakan di pautan laman sesawang PSB seperti akses kepada pangkalan data yang dilanggan oleh universiti selain daripada pelbagai pautan ke jurnal sumber terbuka yang boleh dirujuk sebagai rujukan tambahan.

Menurut En. Salleh Hudin, mengesan pengguna maya yang aktif ini memerlukan kemahiran dan cara tertentu dan beliau turut berkongsi mengenai kaedah mendapatkan senarai nama pemenang ini. Hasrat beliau adalah agar semua Pustakawan dapat mengetahui dan mendalami ilmu-ilmu sebegini untuk diaplikasikan di unit masing-masing seandainya terlihat peluang penambahbaikan dan menjadikannya sebagai sesuatu nilai tambah individu untuk kekal relevan di masa hadapan. Tambah beliau, penyediaan laporan analisis data sebegini mampu membantu perpustakaan dalam penyataan justifikasi kerelevanan di masa hadapan serta mampu membuktikan bahawa bajet kewangan yang diperuntukkan adalah munasabah. Menerusi platform eResources, pemantauan terhadap pengguna yang log masuk ke dalam platform tersebut dapat dilihat menerusi aplikasi “View Ezproxy log file”. Menerusi layar skrin auditiorium, jelas terpapar data-data pengguna yang aktif log masuk ke dalam platform eResources PSB yang terkini. Data pengguna tersebut juga adalah terdiri daripada pelbagai lokasi di seluruh dunia dan kategori pengguna juga dapat dilihat. Mereka adalah para pelajar dan kakitangan UUM yang menggunakan perkhidmatan PSB secara maya.

Pelbagai input baharu telah dipelajari dan dapat dicerna dengan baik oleh semua Pustakawan terlibat dengan rata-ratanya memahami konsep dan idea yang mahu disampaikan oleh Ketua Pustakawan. Walaupun, terlihat sedikit janggal memahami bahasa-bahasa sistem komputer kerana tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan sistem di perpustakaan seperti contoh arahan ‘SQL 95’ yang telah ditunjukkan oleh Ketua Pustakawan, namun mereka menunjukkan minat serta memahami konsep pengendalian tersebut dan jika diberi peluang dan kesempatan, ilmu dan pengetahuan tersebut pasti dapat dikuasai dengan baik suatu masa nanti.

Usai penyampaian oleh Ketua Pustakawan, sesi ini diteruskan dengan sedikit perkongsian mengenai projek ‘School Online Library Collection’ oleh En. Norhardi Saad iaitu Penolong Ketua Pustakawan. Projek ini bakal melibatkan semua Pustakawan PSB dan ianya bertujuan untuk membantu proses pembelajaran dan pengajaran pensyarah dan juga pelajar UUM di masa hadapan. Menurut En. Norhardi, projek ini adalah sebagai platform utama dalam penyediaan akses kepada bahan-bahan pembelajaran yang berkaitan mengikut subjek kursus. Semua pustakawan bertanggungjawab menyediakan bahan berkaitan mengikut Pusat Pengajian yang telah dipertanggungjawabkan. Menggunakan perkongsian melalui Google Drive, projek ini dilihat mampu memberi nilai tambah dalam peranan pustakawan ke arah melahirkan graduan yang berjaya dan berkualiti di masa akan datang. Sesi ini tamat sekitar jam 1.00 tengahari.

 

Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias