PSB SAMBUT BAIK LAWATAN PROGRAM KAMPUSKU LESTARI UUM LESTARI 2021

PSB Online: Gerak gempur pengurusan aset dan inventori bagi semua Pusat Pengajian dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UUM telah dimulakan dan diselaraskan dengan kerjasama utama Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP), UUM IT dan Jabatan Bendahari. Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menggesa warga kampus UUM dan kontraktor pembersihan untuk terlibat sama dalam program UUM Lestari 2021 bagi memperkemaskan sistem perekodan aset, memaksimumkan penggunaan aset, melupuskan aset tidak boleh dibaik pulih dan meningkatkan kebersihan serta keceriaan kampus.

Pada 31 Mac 2021 yang lalu, giliran Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pula untuk menerima kunjungan delegasi gerak gempur ini bersempena merealisasikan program ini. Ketibaan Timbalan Naib Canselor beserta pasukan beliau telah disambut baik oleh Timbalan Ketua Pustakawan iaitu En. Razak Siamin, Penolong Ketua Pustakawan iaitu Pn. Norma Said, Pegawai Tadbir iaitu En. Saarif Rosli Saarif Ahmad serta beberapa pegawai yang lain.

Menurut beliau, “Tujuan lawatan ini adalah bukan untuk mencari keburukan namun ianya adalah langkah untuk membantu mempertingkatkan lagi tahap kepuasan bekerja di Jabatan masing-masing dalam menyampaikan servis dan perkhidmatan yang terbaik buat pengguna”. Ketika lawatannya ke PSB, beliau telah dibawa melawat hampir keseluruhan bangunan PSB merangkumi Bangunan Utama yang mempunyai 5 tingkat dan juga Bangunan Tambahan PSB yang mempunyai 4 tingkat. Antara kawasan yang dilawati adalah bilik makan, stor, ruangan pejabat, bilik-bilik pegawai, bilik-bilik perbincangan dan karel, surau, bilik academic commons, ruang koleksi dan lain-lain lagi. Terdapat beberapa teguran penambaikan telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor. Ianya bakal diambil tindakan segera bagi memenuhi kriteria tahap keselesaan bekerja di kampus ini.

Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa “Program ini diharapkan dapat memastikan kampus UUM yang dicintai ini dapat memberi kesejahteraan kepada komuniti dan kesihatan ekosistem alam semula jadi yang ideal untuk persekitaran bekerja dan pembelajaran”.

Sesi lawatan ke PSB ini tamat sekitar jam 12.30 tengahari.

 

Disediakan oleh : Noraini Alias

Gambar oleh: Abdul Hadi Mat Taib & Ku Rosyidi Ku Md Razi