Sintok – Menyahut dan menyokong kempen World #QuranHour yang telah berlangsung pada 30 Mei 2019 bersamaan 25 Ramadan 1440H yang lalu, sejumlah 19 orang kakitangan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah memeriahkan lagi kempen tersebut dengan berinteraksi bersama Al-Qur’an bermula jam 12.00 tengahari sehingga 1.00 petang.
Bertempat di Bilik Mesyuarat 2, Aras Satu, Bangunan Utama PSB, kesemua peserta membaca dan mentadabbur mukjizat Surah Al – Kahfi secara beramai – ramai. Kefahaman dari Surah Al-Kahfi ini mampu menjadi benteng dan landasan agar ummah berupaya mengemudi kehidupan mengikut panduan al-Quran dari kerangka yang telah digariskan oleh Allah S.W.T. Penglibatan PSB dalam penganjuran World #QuranHour adalah menyahut seruan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah bersama Majlis Pengarah – Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia serta Perpustakaan Negara Malaysia yang dijalankan secara serentak di seluruh negara dengan konsep membaca Al-Qur’an, mendalami maksud, bertadabbur dan mengamalkannya.
Tahun 2019 adalah merupakan tahun ke-empat PSB melibatkan diri dalam program World #QuranHour. Matlamat program ini adalah bagi membentuk peribadi muslim melalui pembacaan dan pemahaman isi kandungan al-Quran menerusi pemilihan surah al-Kahfi sebagai panduan dengan tema “solusi cabaran sejagat”. Surah al-Kahfi dipilih sebagai panduan menghadapi zaman globalisasi yang penuh cabaran dan berupaya menjadi benteng kepada ancaman pengaruh negatif menerusi teknologi dunia tanpa sempadan.
“Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: Bacalah Al Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya” (Hadis Riwayat Muslim). Penganjuran World #QuranHour ini juga diadakan sebagai mengambil ibadah sempena 10 hari terakhir Ramadan. Semoga kempen berimpak tinggi ini dapat diadakan secara berterusan dan dapat diperkasakan lagi kerangka pelaksanaannya di PSB pada tahun mendatang supaya fadhilat perubahan minda dengan mengambil nilai Al-Qur’an sebagai asas pembentukan akhlak muslim sejati dapat dicapai melalui kaedah baca, faham dan amal.
Sekian.
Disediakan oleh : Azniza Ahmad
Gambar oleh : Azniza Ahmad dan Hasma Harun