PSB SERTAI PERHIMPUNAN STAF UUM

Pada 18 Julai 2019 yang lalu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menyertai Perhimpunan Bulanan Staf UUM yang bertempat di Restoran Tasik, UUM.

Seluruh warga PSB telah turun padang bagi memeriahkan perhimpunan ini dengan lengkap berpakaian sukan iaitu memakai t-shirt yang berlogokan PSB. Seawal jam 8.00 pagi, kesemua staf telah kelihatan mula berhimpun di khemah jabatan masing-masing. Perhimpunan ini dimulai dengan nyanyian lagu Negaraku, Biru Warna dan bacaan doa sebelum ucapan perasmian oleh Naib Canselor UUM iaitu Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani.

Bertemakan ‘Love, Happiness and Mutual Respect’ perhimpunan ini diharap dapat merealisasikan hasrat universiti untuk mewujudkan sebuah keluarga besar yang sihat dan berdaya saing tinggi. Menurut Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani, hasrat tersebut boleh dicapai dengan adanya persefahaman dan jalinan kerjasama semua peringkat pengurusan yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Konsep santai kali ini dilihat mampu memberi impak positif berbanding tahun sebelumnya. Ini kerana lokasi yang dipilih telah melahirkan perasaan untuk beriadah dalam suasana santai perkelahan di kalangan keluarga besar UUM. Buat warga PSB pula, kebanyakan staf kelihatan santai dan selesa duduk bersila beramai-ramai di atas tikar yang dibawa sambil menikmati sarapan pagi yang disediakan serta berfoto bersama rakan sekerja. Bukan sahaja ia bisa melahirkan staf yang cerdas dan cergas tetapi juga dapat mengeratkan lagi jalinan mahabbah antara satu sama lain.

Sejurus selepas upacara ucapan perhimpunan ini, pelbagai aktiviti riadah yang lain dijalankan antaranya zumba, berbasikal, permainan tradisional dan fiesta buah-buahan tempatan.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail