PSB Online – Penyelaras Zon Nilam, 5S iaitu Puan Asmaniza Mansor telah menyampaikan sebanyak 10 keping penyambung pelitup muka kepada pengguna Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) yang bertuah pada 23 September 2020 yang lalu. Sumbangan disampaikan pada pukul 2.30 petang bertempat di Pintu Masuk Bangunan Utama PSB.
Menjadikan sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat PSB, sumbangan penyambung pelitup muka ini adalah merupakan usaha kecil untuk membantu para barisan hadapan negara yang sedang bertungkus lumus berusaha membendung penularan wabak COVID-19 agar tidak tersebar lebih jauh ke seluruh negara selain ingin menyumbang kepada penurunan statistik negeri Kedah yang kini dilanda ujian dengan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak. Oleh yang demikian, rakyat perlu memainkan peranan penting untuk mengekang penularan wabak dengan sentiasa mengamalkan penjagaan kendiri seperti yang disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Prihatin dengan seruan kerajaan, PSB mengambil inisiatif dengan mengadakan program ini.
Terkini, semua pengguna yang memasuki dan ingin menggunakan servis dan kemudahan di perpustakaan adalah diwajibkan untuk memakai pelitup muka sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) terbaharu PSB. Memahami kesukaran wanita bertudung untuk memakai pelitup muka, pihak PSB berinisiatif memberi penyambung pelitup muka ini khusus kepada pengguna perempuan yang bertudung sahaja kerana prihatin dengan kesukaran menggantung pelitup muka kerana telinga tertutup oleh tudung.
Idea mengait penyambung pelitup muka menggunakan benang bulu kambing ini datangnya dari seorang ahli Zon Nilam iaitu Puan Noor Zaina Samsudin. Menurut beliau, idea ini datang semasa beliau bertugas di Kaunter Keselamatan Utama dan melihat sendiri kesukaran kaum muslimah untuk memakai pelitup muka ketika itu. Bermula dengan peristiwa ini, beliau berazam untuk membantu mereka dengan menggunakan kemahiran beliau mengait penyambung pelitup muka ini
Tambah beliau lagi, “secara keseluruhan kos yang diperlukan untuk menghasilkan penyambung ini adalah sebanyak RM15 sahaja meliputi 2 gulung bulu kambing, satu jarum kait dan 10 butang baju. Kos ini datang dari peruntukan 5S Zon Nilam yang mendapat peruntukan sebanyak RM200 . Saya memerlukan 2 jam untuk menghasilkan 10 keping penyambung ini dan mengaitnya ketika waktu rehat di pejabat dan waktu terluang ketika di rumah. Saya berharap sumbangan kecil ini dapat membantu membendung penularan COVID-19 di negara kita” . Pn. Noor Zaina telah berjaya menghasilkan 10 keping penyambung pelitup muka yang berwarna biru dan merah.
Memeriahkan lagi aktiviti Jawatankuasa 5S, penyambung pelitup muka ini juga telah menyertai pertandingan inovasi Zon 5S PSB yang bertemakan norma baharu dan mewakili Zon Nilam. Syabas diucapkan kepada Zon Nilam kerana berjaya mencungkil bakat ahlinya dan memberi sumbangan kemanusiaan. Walaupun kelihatan kecil tapi amat besar maknanya kepada mereka yang memerlukan.
Disediakan oleh : Azniza Ahmad
Gambar oleh : Asmaniza Mansor