PSB Online – Pada 21 November 2021 Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) sekali lagi memberi komitmen menerima lawatan audit pematuhan yang dilakukan secara maya dengan menggunakan medium aplikasi Webex. Audit pematuhan ini melibat penilaian dari segi koleksi, perkhidmatan dan fasiliti yang disediakan oleh PSB untuk pelajar.
Audit pematuhan adalah proses tinjauan komprehensif yang memberi tumpuan kepada komitmen UUM terhadap garis panduan pengawalseliaan atau kepatuhannya terhadap kontrak atau terma perjanjian yang dimeterai. Manakala perpustakaan pula merupakan nadi dalam menyokong aktiviti pembelajaran, pengajaran dan kecemerlangan pendidikan sesebuah universiti. Justeru itu, PSB merupakan pusat tanggungjawab yang sering diaudit oleh panel auditor dalam setiap proses audit pematuhan Program Pusat Pengajian yang terdapat di UUM.
Seperti yang telah dijadualkan, proses audit telah bermula pada pukul 3.00 petang. Seramai 2 orang Pustakawan dan 2 orang Pembantu Pustakawan telah bersedia di dua lokasi Bangunan Tambahan PSB untuk membantu kelancaran lawatan audit ini. Mengendalikan audit dari lokasi hadapan Kaunter Perkhidmatan Pelanggan Aras 2, Puan Wan Hanis Kamarrudin, Pustakawan dari Unit Perkhidmatan Maklumat Ilmiah telah memulakan aluan lawatan dengan sesi pengenalan tentang premis PSB dan seterusnya para panel auditor telah dibawa melawat kemudahan yang disediakan seperti Bilik Postgraduate Learning Commons, Bilik Academic Commons, Bilik Perbincangan, Ruang Studi Karel, kemudahan Komputer untuk melayar internet dan pangkalan data dan diakhiri dengan Ruang Bacaan Umum.
Seterusnya, Cik Noraini Alias, Pustakawan dari Unit Komunikasi Korporat telah menyambung sesi lawatan dengan membawa panel auditor meninjau bahan Koleksi Umum yang ditempatkan di Aras Satu PSB. Selain dari koleksi bahan umum, kemudahan lain yang disediakan di Aras Satu adalah Mesin Pinjaman Layan Diri, Kaunter Task Force, Terminal WEBOPAC dan juga ruang bacaan umum yang kondusif dan selesa. Setelah selesai sesi lawatan dan penerangan, proses audit dilanjutkan dengan sesi temubual antara auditor dan auditee. Antara soalan yang dikemukakan oleh panel auditor kepada PSB adalah mengenai tesis yang ditempatkan di perpustakaan dan juga kekerapan pelajar Program Pengajian Pendidikan merujuk koleksi tesis di PSB .
Hasil komitmen dan kerjasama antara staf PSB terutama dari Bahagian Khidmat Pengguna dan Bahagian Sumber Ilmu, sesi audit ini telah berjalan dengan lancar dan berakhir pada pukul 3.30 petang seperti yang telah dijadualkan. Pihak PSB akan berusaha memperbaiki segala kelemahan yang dikesan terutama ketika sedang bersiaran langsung agar proses audit yang akan datang berjalan tanpa sebarang gangguan dan masalah.
Disediakan oleh : Azniza Ahmad
Gambar : Ishar Md. Zain