PSB TERIMA LAWATAN AUDIT PENILAIAN 5S MENGIKUT NORMA BAHARU

PSB Online  – Baru baru ini, Pasukan Audit  Penilaian Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S  Universiti Utara Malaysia (UUM)  telah mengadakan lawatan audit  QE/5S peringkat universiti  pada 27 September 2020. Lawatan ini adalah untuk menilai amalan  QE/5S mengikut norma baharu yang dilaksanakan  di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB).

Antara auditor UUM yang hadir adalah Encik Abdul Razak  Bin Abdul Wahab , Pegawai Tadbir  dari Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) dan Puan Azam Arni Binti Mohd Noor, Pegawai Penyelidik Sosial dari Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC). Bersesuaian dengan amalan norma baharu, kedua – dua auditor telah mengimbas kod QR MySejahtera PSB dan disaring  suhu badan di Pintu Masuk PSB sebelum dibenarkan  memasuki PSB.

Bertempat di Bilik Mesyuarat Aras Satu Bangunan Utama PSB, lawatan audit dimulakan  dengan sesi penerangan dan pembentangan aktiviti  5S yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2020 oleh Pengerusi Jawatankuasa 5S PSB iaitu Puan Rahimah Ishak  yang merupakan Penolong Ketua Pustakawan PSB. Turut hadir  menyertai  sesi pembukaan audit ini adalah Ketua Pustakawan PSB  iaitu Encik Salleh Hudin Bin Mustaffa dan juga Timbalan Ketua Pustakawan, Encik Razak Bin Siamin. Dalam pembentangannya, Puan Rahimah memaklumkan bahawa “kami telah melakukan kaizen atau perubahan kepada yang lebih baik terhadap semua teguran penemuan audit tahun lepas dan laporan kaizen telah dihantar ke Institut  Pengurusan Kualiti (IPQ). Manakala pada tahun ini, kami telah melaksanakan lean management di Bahagian Siri, dengan menamatkan perkhidmatan kaunter di situ, PSB juga tidak lagi melanggan jurnal bercetak yang secara langsung mengurangkan kos penghantaran jurnal untuk dijilid. Kaedah ini telah berjaya menjimatkan bajet PSB lebih kurang sebanyak RM 1 juta.”  Sebelum memulakan sesi lawatan audit, Encik Razak  Bin Abdul Wahab selaku Ketua Auditor telah memaklumkan kepada semua Jawatankuasa 5S sekiranya ada inovasi-inovasi yang mahu ditampilkan untuk dinilai oleh pasukan beliau bolehlah berbuat demikian agar tidak terlepas pandang  untuk tujuan penilaian pemarkahan.

Seterusnya, proses audit bermula di Zon Delima di Aras Satu Bangunan Utama PSB dan berakhir di Zon Jed iaitu di bangunan Muzium Pengurursan UUM. Sepanjang proses audit dijalankan, semua  staf PSB selaku ahli zon telah memberi kerjasama dan sokongan padu  untuk menjayakan aktiviti ini. Kriteria pemarkahanan penilaian amalan persekitaran berkualiti 5S UUM masih  mengekalkan komponen yang sama seperti tahun yang sebelumnya tetapi pada tahun ini ia lebih menekankan kepada aspek amalan norma baharu dalam pencegahan Covid-19  seperti adanya  label penjarakkan fizikal, label pemakaian pelitup muka, label kaedah bersalaman ketika wabak  dan penyediaan hand sanitizer  di ruangan pejabat dan di tempat-tempat tumpuan umum.

Lawatan audit yang bermula pada pukul 9.00 pagi ini berakhir pada pukul 1.46 petang dengan sesi penyampaian cenderahati kepada para auditor telah disempurnakan oleh Puan Rahimah Ishak bertempat di ruang legar Professor’s Corner, PSB.

Disediakan oleh : Azniza Ahmad

Gambar :  Abdul Hadi Mat Taib