PSB TERIMA LAWATAN AUDIT QE/5S SECARA FIZIKAL

PSB Online  –  Pada 09 Januari 2022 sekitar pukul 9.00 pagi, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) sekali lagi telah menerima  satu Lawatan Penilaian Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S Mengikut Norma Baharu 2021.  Lawatan ini adalah secara fizikal melibatkan pasukan 3 orang Auditor 5S Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Ketua Auditor,  Encik Zor Bin Mat Nor, Pegawai Tadbir dari Jabatan Pendaftar, dibantu oleh Puan Hasliza Bt. Hassan, Pegawai Tadbir dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) dan Encik Wahe Anuar Bin Mansor, Pegawai Tadbir dari Jabatan Pendaftar.

Ini adalah Sesi Lawatan Penilaian Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S Mengikut Norma Baharu 2021 kali kedua dilakukan oleh panel auditor 5S UUM setelah lawatan yang pertama dilaksanakan secara maya pada 24 Oktober 2021 yang lalu. Barisan auditor telah disambut mesra oleh Pengerusi 5S PSB iaitu Puan Rahimah Ishak, Penolong Ketua Pustakawan. Selain dari Pengerusi 5S, turut menyambut kedatangan para auditor adalah Ahli Jawatankuasa 5S bersama Ketua-Ketua Zon PSB yang hadir memberikan semangat dan sokongan.

Sesi lawatan ini dimulai dengan Mesyuarat Pembukaan dan taklimat ringkas mengenai perjalanan pelaksanaan aktiviti 5S di PSB  sepanjang tahun 2021 bertempat di Bilik Mesyuarat Paras Satu, Bangunan Utama PSB. Sebaik selesai sesi taklimat, lawatan audit penilaian untuk tujuan pemurnian aspek pemarkahan ini dimulakan dengan lawatan ke Pantry Utama PSB yang terletak di Zon Delima. Seterusnya, panel auditor dibawa melawat ke semua Zon 5S yang terdapat di Bangunan Utama PSB,  iaitu, Zon Nilam, Zon Berlian dan Zon Baiduri. Tidak ketinggalan, pasukan auditor juga turut dibawa melihat hasil inovasi terbaharu ahli Zon Kristal, iaitu projek bean bag dari kertas rincihan terpakai (shredded paper) yang ditempatkan di ruang santai Zon berkenaan. Setelah selesai melawat kesemua 5 Zon 5S di Bangunan Utama, barisan auditor meneruskan sesi lawatan penilaian ke Bangunan Tambahan untuk meninjau Kaunter Khidmat Pelanggan, Bilik Pasca Siswazah, Bilik Academic Common, Sudut 5S Zon Zamrud, Surau Perempuan, Tandas, Ruang Bacaan umum pelajar dan Bilik Makmal Latihan .

Lokasi terakhir lawatan pada kali ini adalah tempat penyimpanan barang-barang pelupusan yang terletak di Loading Bay di luar Bangunan Utama PSB. Sebelum para auditor bergerak keluar, sebagai kenangan, satu sesi bergambar di hadapan sudut  Professors’ Corner telah diadakan. Tidak lupa juga, Ketua Auditor diminta menandatangani Buku Lawatan PSB untuk tujuan rekod kunjungan. Sesi lawatan penilaian ini telah berakhir pada pukul 12.30 tengahari.

Jawatankuasa 5S PSB mengucapkan ribuan terima kasih atas komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh keluarga PSB dalam memastikan proses audit secara fizikal ini dapat berjalan dengan lancar terutama dalam memastikan semua SOP COVID-19 yang ditetapkan dilaksanakan dan dipatuhi. Syabas PSB.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Abdul Hadi Mat Taib