Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB ) telah menerima satu lawatan audit keselamatan dan kesihatan perkerjaan (OSH) daripada pasukan auditor Kursus Audit Dalaman Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan pada hari Rabu 25 September 2019 yang lalu. Lawatan ini bermula pada jam 10.45 pagi dan bertempat di Bilik Mesyuarat Aras 1, Bangunan Utama PSB.
Seramai 4 orang pelatih auditor telah hadir iaitu Puan Yus Asma Bt Yusoff selaku ketua auditor dari Pusat Pengajian Antarabangsa, Encik Halim Bin Md. Yatim dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Puan Roshadah Bt Yaacob, dari Pusat Pengajian UUM COLGIS dan Encik Mohd Nasiruddin Bin Abu Ghani, dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik. Turut menyertai kumpulan audit OSH UUM ini ialah Prof. Madya Dr. Nor Azimah Chew binti Abdullah selaku Pengarah Institut Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UUM dan Encik Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan PSB.
Tujuan audit ini diadakan adalah sebagai latihan amali dalam memenuhi kriteria keperluan kursus sebagai pendedahan kepada para auditor OSH UUM . PSB dipilih sebagai salah satu Pusat Tanggungjawab (PTJ) untuk dijadikan lokasi audit kerana PSB adalah salah satu PTJ yang terbaik di UUM yang mematuhi keperluan dan pelaksanaan OSH di tempat kerja. Seramai 5 orang wakil AJK OSH PSB telah turut menyertai sesi latihan audit ini iatu Encik Abdul Hadi Hassan dan Cik Azniza Ahmad selaku wakil pihak pekerja dan Puan Norma Said selaku wakil dari Pihak Majikan. Pembukaan audit telah diketuai oleh Encik Razak Siamin, Pustakawan Kanan PSB juga sebagai wakil Pengerusi Jawatankuasa OSH PSB. Antara fasiliti yang dilawati oleh pasukan auditor adalah berkenaan keselamatan tangga, kemudahan lift, buku dan rak buku, tangki simpanan air di Bangunan Tambahan dan penyediaan step tool di Koleksi Umum PSB.
Secara keseluruhannya proses latihan audit ini berjalan dengan baik dan lancar. Semoga semua auditor yang hadir dapat mengambil manfaat bahawa sistem audit yang berkesan boleh mempertingkatkan tahap pengurusan keselamatan dan kesihatan sesuatu tempat kerja. Ini adalah kerana melalui audit ini, segala kekurangan atau kelemahan dalam aspek keselamatan dan kesihatan dapat dikenalpasti dan tindakan susulan boleh dibuat secara teratur. PTJ yang mempunyai pengurusan keselamatan dan kesihatan yang baik boleh menjamin keselamatan dan kesihatan para pekerjanya serta juga kepada para pelanggan yang berkunjung untuk mendapatkan perkhidmatan dan menggunakan semua kemudahan prasarana di PSB.
Lawatan audit ini berakhir pada pukul 12.30 tengahari.
Disediakan dan gambar oleh : Azniza Binti Ahmad