PSB TERIMA LAWATAN “BENCHMARK” DARI UniSHAMS

PSB Online Pada 13 Oktober 2021 yang lalu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan 2 orang pelawat dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kedah. Mereka adalah En. Muhammad Lukman Harun, Timbalan Ketua Pustakawan dan En. Mohammad Azizi Othman, Pembantu Pustakawan Kanan. Lawatan ini adalah bertujuan untuk membuat penandaarasan (benchmark) mengenai proses kerja di PSB khususnya di Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Maklumat Ilmiah (BPKMI).

Delegasi ini tiba di PSB pada jam 9.30 pagi dan telah disambut mesra oleh Cik Hanie Azyyati Abd Jamil, selaku Penolong Ketua Pustakawan merangkap Ketua Bahagian di BPKMI. Setelah itu, mereka terus dibawa ke pejabat BPKMI untuk sesi taklimat ringkas serta penerangan lanjut mengenai proses semakan dan pengesahan penerbitan UUM. Proses kerja ini merangkumi semakan di Unit Dapatan & Impak Penyelidikan (Research Output & Impact, ROI) seperti  Semakan Skim Insentif  Penerbitan (SIP), Skim Pembiayaan Yuran Penerbitan Jurnal (SPYPJ) yang merupakan satu skim galakan kepada staf akademik dalam usaha meningkatkan statistik penerbitan artikel jurnal terutamanya dalam jurnal berindeks Web of Science (WoS) Core Collection dan SCOPUS. Selain itu juga, mereka turut diberi pendedahan lanjut berhubung semakan Skim Seminar Staf Akademik iaitu semakan kelulusan staf akademik menghadiri seminar atau persidangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sama ada di dalam dan di luar negara yang turut dilakukan oleh Unit ROI. Selain penerangan secara lisan, Cik Hanie Azyyati juga turut menunjukkan kaedah tatacara semakan pengesahan artikel di Sistem Penerbitan Universiti (UPS) agar pelawat dapat memahami dengan lebih jelas berhubung perkara-perkara yang telah dijelaskan.

Sebelum berangkat pulang, pelawat menandatangani buku pelawat PSB dan seusai itu, sesi penyampaian cenderahati telah disempurnakan oleh Cik Hanie Azyyati dengan diiringi oleh Cik Noraini Alias selaku Ketua Unit Komunikasi Korporat sebagai tanda penghargaan.

 

Disediakan oleh: Ishar Md Zain

Gambar oleh : Ishar Md Zain