PSB TERIMA LAWATAN PENILAIAN AUDIT SECARA ATAS TALIAN

PSB Online –  Dalam menghadapi situasi ketidaktentuan akibat penularan wabak COVID-19, setiap perancangan aktiviti yang telah dibuat perlu diteruskan bagi mengekalkan standard dan kualiti Universiti Utara Malaysia (UUM). Oleh kerana  lawatan audit secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan ekoran wabak pandemik yang mengehadkan, maka audit secara atas talian (Virtual audit) telah menjadi mekanisma terbaik yang menggantikan lawatan tapak secara fizikal.

Pada 31 Januari 2021, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menerima satu sesi lawatan audit pematuhan Program Pasca Siswazah Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL) secara maya melalui aplikasi Cisco Webex . Audit  ini telah bersiaran langsung pada pukul 3.00 hingga 4.00 petang di Koleksi Undang-Undang  Paras 5 Bangunan Utama  dan juga di Bilik Postgraduate Bangunan Tambahan PSB. Seramai 3 orang Ahli Panel Penilai dari universiti luar terlibat dalam sesi lintas langsung (Live Streaming) melihat kemudahan dan prasarana yang disediakan oleh PSB dalam membantu proses pembelajaran  kepada para pelajar  pasca siswazah  di UUM.

Proses audit bermula dengan sesi penerangan mengenai latarbelakang, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di PSB oleh Puan Wan Hanis Kamarruddin, Pustakawan dari Unit  Khidmat Maklumat Ilmiah. Turut serta menyertai  pasukan auditee PSB adalah Puan Rahimah Ishak, Ketua Bahagian Sumber Ilmu,  dan Cik Mazyana Hashim, Ketua Bahagian  Perkhidmatan Pengguna sebagai persediaaan untuk temuramah sekiranya ada persoalan lanjut mengenai PSB. Untuk tinjauan kemudahan yang khusus disediakan untuk kegunaan pelajar pasca siswazah, Cik Noraini Alias, Ketua Unit Komunikasi Korporat PSB telah ditugaskan untuk mengendalikan lawatan maya ini  di Bilik ‘Postgraduate Leraning Commons’ di Paras dua Bangunan Tambahan PSB. Antara kemudahan yang ditunjukkan adalah ruang bacaan umum, bilik perbincangan,  karel, komputer dan  juga ruang santai  yang  disediakan di situ.

Untuk melancarkan lagi proses audit atas talian ini, pihak SoL telah menghantar dua orang kakitangannya iaitu Encik Mohd Nazri Omar, Pembantu Tadbir dan juga Encik Jufaizal Azaizul Che Alias  sebagai pemudahcara membantu dari segi  siaran langsung di antara  auditor dan auditee.

Pihak PSB berterima kasih  kepada semua kakitangan yang terlibat dalam memberikan kerjasama dan komitmen sepenuhnya dalam memastikan proses audit ini  berjaya dan berjalan dengan lancar.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar : Wan Hanis Kamarruddin dan Hanie Azyyati Abd Jamil