Demi membangkitkan kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-60, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengambil inisiatif dengan mengadakan pameran dan tayangan dokumentari kemerdekaan serta turut menghiasi dan mengibarkan bendera “Jalur Gemilang” di sekitar dalam dan luar bangunan PSB.
Pameran ini telah bermula sejak 16 Ogos 2017 dan akan berakhir pada 16 September 2017. Tujuan ianya diadakan adalah untuk menaikkan semangat patriotisme dan nasionalisme di kalangan warga PSB serta pengunjung yang hadir. Selain itu juga, ianya turut diadakan bagi memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 2017.
Dokumentari kemerdekaan yang ditayangkan juga adalah mengenai kronologi perjuangan memerdekakan Tanah Melayu oleh pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman dan lain-lain. Selain itu, di panel pameran juga turut dimuatkan maklumat-maklumat penting mengenai sejarah kemerdekaan negara bagi menyuntik dan membangkitkan semula semangat kemerdekaan terutama di kalangan generasi pascamerdeka.
Semoga dengan inisiatif sebegini dapat memberi impak positif kepada warga Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam memartabatkan nilai nasionalisme di dalam diri sendiri.
Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias