PSB Online – Gubahan hasil tangan 3 Srikandi RIMC berjaya dinobat sebagai juara Pertandingan Gubahan Pulut Kuning Antara Jabatan 2023 anjuran Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) yang diadakan pada 12 September lalu.
Mewakili jabatan Research and Innovation Management Centre (RIMC) yang disertai oleh Nor Zamza Zuraidah Mohd Najib, Azam Arni Mohd Noor dan Farah Nuraishah Ab Malek Zaki menonjolkan bakat terpendam melalui hasil kreativiti gubahan yang berjaya memikat hati juri menewaskan 6 lagi peserta pertandingan.
Mengetengahkan gubahan mengikut tema kemerdekaan, 3 Srikandi RIMC menyajikan hasil gubahan dan masakan dua menu utama iaitu pulut kuning dan rendang udang. Pulut kuning pula digubah dengan begitu teliti dan menarik sekali dengan berlatarkan nada warna Jalur Gemilang dan ditunjangi udang panjat menaikkan seri gubahan pulut kuning. Melengkapkan lagi hidangan pulut kuning yang telah digubah cantik, minuman kopi O turut disajikan sebagai pelengkap rasa masakan yang dipersembahkan sebagai tambahan untuk menawan hati juri.
Secara tradisinya, pulut kuning adalah makanan istimewa orang Melayu yang diwarisi sejak turun-temurun dan sering dimasak di pelbagai majlis keraian seperti hari perkahwinan, majlis berkhatan dan lain-lain hari yang istimewa. Pulut kuning atau dikenali juga dengan nama nasi kunyit ialah sejenis sajian istimewa bagi orang Melayu. Ia merupakan pulut yang dimasak dengan sedikit serbuk kunyit sebagai pewarna dan kebiasaannya ia dimakan dengan gulai atau rendang ayam atau daging. Pulut kuning juga, biasanya akan dimasak pada majlis keramaian seperti hari perkahwinan, kenduri kesyukuran, majlis berkhatan dan lain-lain hari yang istimewa. Ia adalah merupakan salah satu komoditi yang lebih mahal berbanding beras biasa,ditambah warna kuning kunyit sebagai identiti Raja.
Johan Pertandingan Gubahan Pulut Kuning Antara Jabatan 2023 ini telah membawa pulang hadiah bernilai RM300 beserta hamper dan sijil penyertaan. Naib Johan jatuh kepada Kumpulan SAPSP dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM200 beserta hamper dan sijil penyertaan. Bagi tempat ketiga pula adalah milik Kumpulan SE5BEAUTIES dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan atau School of Economics Finance and Banking (SEFB). Mereka telah membawa pulang hadiah bernilai RM100 beserta hamper dan juga sijil penyertaan.
Sekalung tahniah diucapkan kepada semua peserta yang berjaya mempamerkan hasil tangan yang cukup menarik di samping dapat meningkatkan lagi jati diri dan semangat kemerdekaan melalui hidangan dan gubahan yang telah dipersembahkan.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Asyraf Syed Ismail