PUSAT ISLAM UUM PILIH PSB SEBAGAI TEMPAT LAWATAN PENANDAARASAN 5S

Sintok Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berbesar hati menerima satu kunjungan penandaarasan budaya amalan persekitaran berkualiti QE/5S dari Jabatan Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 11 Mac 2020 yang lalu.

Lawatan seramai 12 orang ini terdiri daripada kalangan staf Pusat Islam dan seorang pelajar praktikum. Delegasi ini tiba di Foyer PSB pada jam 10.45 minit pagi. Mereka telah disambut mesra oleh Pn. Rahimah Ishak selaku Pengerusi 5S sambil diiringi oleh Pn. Hasma Hj. Harun, Pustakawan Kanan PSB serta barisan Jawatankuasa Pemandu 5S dan juga Ketua-Ketua Zon yang turut menyambut delegasi ini.

Lawatan dari Pusat Islam ini telah diketuai oleh Ustazah Nor Azlinah Zaini iaitu Pegawai Hal Ehwal Islam. Menurut beliau ” objektif kami berkunjung ke mari adalah yang pertamanya untuk mengukuhkah ukhwah sesama kita staf UUM dan dalam masa yang sama ingin melihat budaya kerja yang positif dan kreatif serta berinovasi menerusi amalan 5S di PSB.

Tambah beliau lagi “lawatan ini juga merupakan serampang dua mata, kerana selain dari untuk melihat komitmen PSB yang sentiasa konsisten dengan amalan 5S, mereka juga ingin meninjau dan menimba ilmu berkenaan pengurusan bahan perpustakaan kerana Pusat Islam juga memiliki perpustakaan sendiri, iaitu Perpustakaan Raudhatul Ilmi, yang bertempat di bangunan Masjid Sultan Badlishah, UUM.

Setelah itu, sedikit taklimat ringkas telah disampaikan oleh Pengerusi 5S  mengenai pelaksanaan amalan 5S di PSB  bertempat di Bilik Mesyuarat Aras 1, Bangunan Utama PSB. Antara perkara  yang dikongsikan adalah mengenai sejarah amalan 5S, aktiviti-aktiviti yang dirancang dan yang telah dilaksanakan, peranan Jawatankuasa 5S dan Ketua Zon, serta penekanan tentang pentingnya memenuhi semua kriteria pemarkahan audit 5S seperti yang disyaratkan oleh Institut Pengurusan Kualiti ( IPQ) UUM.

Di kesempatan ini juga, seusai taklimat, satu sesi soal jawab telah diadakan  dan kebanyakkan semua  yang hadir mengambil kesempatan untuk bertukar- tukar idea dan turut memberi kata-kata motivasi untuk kekal bersemangat dalam melaksanakan gerak kerja amalan 5S di jabatan masing-masing selaras dengan objektif 5S UUM.

Justeru itu, bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas dan terperinci mengenai aktiviti 5S dan hasil inovasi yang  berjaya dihasilkan oleh PSB,  delegasi ini telah dibawa melawat ke lokasi yang terpilih di Bangunan Utama seperti ruangan bilik makan di Zon Delima,  edible garden di Zon Baiduri dan seterusnya ke Bangunan Tambahan PSB untuk meninjau inovasi di surau perempuan dan ruang santai Zon Zamrud. Di sini juga, semua delegasi Pusat Islam mengambil kesempatan melihat susunan buku, penggunaan troli dan kick step tool serta meninjau ruangan stack room yang menyimpan buku-buku lama yang tidak lagi aktif penggunaannya.

Lawatan ini berakhir sekitar jam 12.30 minit tengahari dengan sesi bergambar dan bertukar-tukar cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan. Semoga lawatan ini berjaya menggalakkan komitmen budaya kaizen dan kerja berpasukan untuk meningkatkan lagi imej jabatan masing masing di peringkat UUM.

 

Disediakan dan gambar oleh: Azniza Ahmad