PUSAT SUMBER BERELEKTRONIK DAN BERKONSEPKAN MINIMALIS MENCERIAKAN SEKOLAH KEBANGSAAN KAMPUNG GELAM, ALOR SETAR, KEDAH

Pada 15 April 2025, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyerahkan sebuah Pusat Sumber Berelektronik dan Berkonsepkan Minimalis kepada Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam, Alor Setar, Kedah diterima oleh Guru Besar sekolah berkenaan, Encik Muhamad Sofi bin Hashim. Majlis penyerahan ini telah berlangsung di sekolah tersebut dan disempurnakan oleh Puan Hanie Azzyati Abdul Jamil, Penolong Ketua Pustakawan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) yang mewakili Ketua Pustakawan PSB,  Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Che Azlan bin Taib.

Majlis penyerahan pusat sumber ini merupakan kemuncak kepada Projek Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh PSB dan Muzium Pengurusan UUM kepada Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam berkenaan. Projek ini telah dijalankan sejak 13 Febuari 2024.

Menurut Puan Hanie Azzyati, projek pembinaan pusat sumber ini telah berjaya dilaksanakan oleh 15 orang staf PSB dan Muzium Pengurusan UUM, dengan bantuan lima orang pelajar praktikum dari UiTM pada bulan Disember 2024. Pelaksanaan projek ini turut melibatkan Puan Siti Norain Ismail, Pustakawan Unit Sistem Perpustakaan, serta Cik Nur Darina Khairil Anwar, Pustakawan Unit Metadata, Pengindeksan dan Abstrak, PSB  yang telah melatih seramai 13 orang pengawas pusat sumber dan 24 orang pengawas sekolah berkenaan pada 25 Mac 2025 yang lalu. Latihan tersebut merangkumi pengendalian asas sistem Senayan Library Management System (SLIMS), yang diaplikasikan di Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam.

Dalam ucapannya, Puan Hanie Azzyati, menyatakan bahawa pelaksanaan Projek SDG PSB dan Muzium Pengurusan UUM ini diharapkan dapat memberikan manfaat yang besar kepada semua pihak yang terlibat. Projek ini bukan sahaja bertujuan untuk mewujudkan pengurusan pusat sumber yang lebih teratur dan sistematik, memudahkan pencarian bahan, serta meningkatkan capaian maklumat, malah turut memberi impak positif terhadap imej dan keterlihatan Pusat Sumber Sekolah Sek. Keb. Gelam dalam kalangan masyarakat setempat. Selain itu, ia membuka peluang kepada jalinan kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan, memperkukuhkan lagi hubungan yang telah terjalin dan membawa sinergi baru dalam pembangunan pendidikan.

Selain itu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah turut menyumbangkan satu set komputer kepada Pusat Sumber Sek. Keb Kampung Gelam. Kemudahan ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar dalam usaha mencari maklumat serta bahan rujukan elektronik dan bercetak yang dapat menyokong proses pembelajaran mereka. Dengan adanya peralatan dan perisian ini, diharapkan ia dapat mempermudah akses kepada sumber pendidikan digital, sekali gus memperkaya pengalaman pembelajaran para pelajar dalam pelbagai bidang ilmu.

Inisiatif ini juga menjadi satu contoh terbaik dalam memperkasakan penggunaan teknologi dalam pendidikan, di samping memberikan ruang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran pada abad ke-21. Kemudahan digital ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pencarian maklumat, tetapi juga menyediakan peluang untuk para pelajar belajar secara lebih interaktif dan kreatif. Dengan ini, mereka dapat memanfaatkan pelbagai sumber dalam talian yang ada, sekali gus meningkatkan daya saing mereka dalam dunia yang semakin berkembang pesat dengan penggunaan teknologi terkini. Selain itu, ia juga memberi impak besar terhadap pembangunan masyarakat setempat, di mana ilmu dan teknologi dapat digunakan untuk memperbaiki taraf hidup dan memberikan peluang yang lebih cerah bagi generasi akan datang. Langkah-langkah sebegini mampu membawa perubahan positif yang lebih berterusan dalam sistem pendidikan negara.

Diharapkan projek seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak sekolah lain di seluruh negara. Usaha seperti ini amat penting dalam menanam minat yang mendalam terhadap budaya membaca dalam kalangan pelajar serta memperkukuhkan peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu yang dinamik di institusi pendidikan. Dengan kerjasama antara pelbagai pihak, projek ini tidak hanya memberi impak dalam memperkaya pengalaman pembelajaran, tetapi juga dalam memperluas akses kepada sumber-sumber ilmu yang mampu melahirkan modal insan yang berkualiti, berakhlak mulia dan holistik.

Disediakan oleh : Nurul Syafika Binti Che Zin
Pelajar latihan industri
Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian
Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf bin Syed Ismail