
PSB ONLINE: 11 Mac 2025 – satu ceramah bertajuk “Ramadan Siri 1: Ramadan Your Kick Start!” telah diadakan di Auditorium 1, Bangunan Utama PSB. Ceramah ini dianjurkan oleh Badan Kebajikan & Amal Perpustakaan (BAKAL) PSB dan disampaikan oleh Puan Norasyrah binti Mohd Nazri, seorang Pegawai Dietetik dari Hospital Sultanah Bahiyah.
Puan Norasyrah menjelaskan konsep Intermittent Fasting (IF) dan bagaimana ia boleh diaplikasikan semasa Ramadan. IF membantu dalam pengurusan berat badan dan meningkatkan metabolisme. Beliau juga turut menerangkan mengenai kebaikan berpuasa dari segi kesihatan. Menurut beliau, berpuasa mempunyai banyak manfaat kesihatan seperti meningkatkan kawalan gula dalam darah, mengurangkan keradangan, dan meningkatkan kesihatan jantung.
Disamping itu, beliau turut memberi beberapa tips pemakanan yang sihat di bulan Ramadan Al Mubarak seperti berikut:
- Tips pemakanan semasa sahur iaitu dengan makan makanan yang kaya dengan karbohidrat kompleks seperti oat dan roti gandum penuh untuk tenaga yang berpanjangan.
- Tips pemakanan selepas azan Maghrib pula perlu dimulakan dengan kurma dan air kosong, diikuti dengan makanan seimbang yang mengandungi protein, sayuran, dan buah-buahan
- Tips pemakanan selepas solat Maghrib dan semasa moreh pula perlu elakkan makanan yang terlalu berat dan berminyak. Pilih makanan yang mudah dihadam seperti sup dan salad. Boleh juga memilih snek yang sihat seperti buah-buahan dan kacang untuk moreh.
- Tips hidrasi minum air secukupnya antara waktu berbuka dan sahur untuk mengelakkan dehidrasi. Elakkan minuman berkafein dan bergula tinggi.
Selain itu, beliau juga membincangkan cabaran-cabaran yang dihadapi semasa berpuasa seperti keletihan dan dehidrasi, serta cara-cara untuk mengatasinya.
“Elakkan dari mengambil makanan yang tinggi lemak, gula, dan garam kerana ia boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti gastrik dan tekanan darah tinggi kepada kita. Amalkan pengambilan makanan dalam kuantiti yang sederhana dan elakkan makanan yang pedas dan berasid. Pastikan kita tidak terlalu melewatkan waktu bersahur bagi mengelakan makan secara tergesa-gesa. Bagi mengelakkan berlaku masalah gastrik ketika berpuasa elakkan bersahur terlalu awal” kata beliau.
Beliau juga turut berkongsi mengenai kebaikan kurma. “Kurma adalah sumber tenaga yang baik dan kaya dengan serat serta mineral penting. Ia juga membantu dalam penghadaman dan memberikan tenaga segera selepas berpuasa, tetapi tidak digalakkan pengambilan kurma berlebihan bagi orang yang menghidap diabetes” nasihatnya lagi.
Untuk kekal bertenaga sepanjang bulan puasa, pastikan hidangan sahur dan berbuka seimbang dan lengkap. Lengkapkan juadah dengan karbohidrat, protein, sayuran, buah-buahan, dan air kosong. Amalkan konsep bersederhana semasa makan. Lakukan senaman ringan seperti berjalan kaki atau yoga selepas berbuka untuk kekal aktif dan sihat.
Semoga ceramah yang penuh perkongsian informatif ini memberikan manfaat dan panduan kepada semua audiens dalam menjalani ibadah puasa dengan lebih sihat dan bertenaga.
Disediakan oleh: Siti Ainsyah binti Kamis
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf bin Syed Ismail