PSB Online – Sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan merupakan waktu yang dipilih untuk diturunkan Malam al-Qadar (lailatulqadar). Inilah hadiah terbesar yang diturunkan kepada umat Islam pada bulan Ramadan yang tidak terdapat pada bulan-bulan lainnya. Untuk itu, Badan Kebajikan dan Amal (BAKAL) Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) sekali lagi menganjur ceramah Ramadan Siri 2 dengan tajuk Ramadan : Memburu Lailatul Qadar sebagai persediaan dan persiapan diri untuk menggapai malam yang dinanti-nantikan itu.
Ceramah ini telah diadakan pada 11 April 2023 bertempat di Auditorium 2, Bangunan Tambahan PSB. Sekali lagi Penceramah undangan ialah Prof. Madya Dr. Ustaz Mohamad Khadafi Hj Rofie, Pensyarah dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) Universiti Utara Malaysia (UUM).
Antara pengisisan ceramah, ustaz menyampaikan bahawa umat Islam dianjurkan untuk semakin memperbanyakkan ibadah pada 10 hari terakhir Ramadan. ”Rasulullah S.A.W. sendiri lebih giat beribadah pada 10 hari terakhir ini yang tidak baginda lakukan pada hari-hari lainnya. Amalan dan teladan ini perlu dicontohi oleh kita semua umatnya dalam menjalani ibadah puasa. Antara ibadah yang paling dianjurkan ialah melakukan iktikaf atau berdiam diri dan melakukan qiamullail di masjid. Kita beriktikaf dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan juga untuk mendapatkan Malam al-Qadar di mana jika kita beribadah di malam ini maka tawaran pahala yang dijanjikan Allah S.W.T. adalah lebih baik dari ibadah seribu bulan.”
Jelas ustaz lagi, begitu besar keutamaan malam Lailatul Qadar sehingga Allah S.W.T. merahsiakan turunnya malam ini agar umat Islam yang benar benar ingin dan rindu untuk mendapatkannya bersungguh-sungguh mencarinya sehingga harus betul-betul berjuang kerana Allah untuk mendapatkannya. Malam Lailatul Qadar adalah satu-satunya malam yang dijelaskan secara khusus dalam Al-quran seperti termaktub di dalam surah al-Qadr. “Pada malam ini, para malaikat yang diketuai oleh Malaikat Jibril turun ke bumi dan mengaminkan doa umat Islam yang dipanjatkan di sepanjang malam itu hingga terbitnya fajar. Segala doa yang tidak diterima di waktu-waktu lain akan diterima di malam Lailatul Qadar.”
Selain dari itu, Ustaz juga turut memperincikan tentang hukum, masa, tempat, rukun dan amalan iktikaf. Antara amalan yang selalu dilakukan ketika beriktikaf ialah memperbanyakkan solat, membaca al-qur’an, berzikir, berselawat dan menyendiri dengan tidak merubah tempat di suatu sudut di dalam masjid.
Majlis ceramah yang bermula pada pukul 9.30 pagi ini telah berakhir pada pukul 11.00 pagi. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati yang disampaikan oleh Tuan Haji Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan PSB yang turut meluangkan masa hadir mendengar ceramah ini.
Mudah-mudahan dalam menghitung hari-hari terakhir Ramadan tahun ini, kita dapat bermuhasabah diri dan merenung kembali pengisian yang telah kita laksanakan sepanjang tempoh 19 hari yang telah berlalu. Jika masih terdapat banyak lagi kelemahan dalam kita melunaskan puasa kita sebelum ini, maka masih belum terlewat untuk kita memperbaiki kelemahan tersebut agar kita mampu mencapai takwa dalam erti kata sebenar.