PSB Online – Bermulanya bulan Muharam menandakan masuk tahun baharu mengikut kalender Islam. Di bulan ini, selain puasa dan amalan sunat yang lain ‘Bubur Asyura’ sememangnya amat sinonim dengan bulan ini.
Pada 03 September 2020 bersamaan 15 Muharam, seramai 21 orang kakitangan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah bergotong royong atau berkerjasama menyediakan bahan dan mengacau bubur Asyura. Aktiviti ini telah diadakan bertempat di perkarangan Loading Bay, Bangunan Utama PSB. Program ini adalah anjuran Kelab Kebajikan dan Amal (BAKAL) PSB. ‘Bubur Asyura’ adalah makanan yang dibuat daripada pelbagai campuran ramuan seperti ubi keledek, pisang, kacang merah dan lain-lain sempena meraikan Bulan Muharam terutama hari ke -10 Muharam (Hari Asyura).
Menurut Encik Ku Rosyidi Ku Md. Razi, Pengerusi BAKAL , “setiap tahun menjadi rutin BAKAL menganjurkan program seperti ini. Saya berharap dengan adanya program sebegini ia dapat memupuk semangat muafakat dan mengeratkan silaturrahim sesama kita di kalangan warga PSB. Di samping itu juga ia dapat memberi pendedahan mengenai masakan bubur asyura resipi masyarakat Kedah kepada kakitangan PSB yang berasal dari luar negeri Kedah”. Katanya lagi, “Bubur Asyura utara mempunyai tekstur dan rasa yang pekat dan manis”.
Sebanyak 2 kawah bubur telah berjaya dimasak dan sebanyak 200 pek telah diagihkan kepada semua kakitangan PSB. Selain itu, bubur ini juga turut diedarkan kepada kakitangan Uniutama Property Sdn Bhd (UPSB) yang bekerja di PSB agar mereka sama-sama dapat menikmati kelazatan bubur hasil tangan masakan warga PSB.
Turut hadir menjayakan program ini ialah Encik Norhardi Saad, Penolong Ketua Pustakawan PSB. Aktiviti memasak Bubur Asyura ini bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 12. 30 petang.
Semoga aktiviti sebegini berterusan di masa akan datang apabila datangnya bulan Muharam tahun hadapan.
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar : Abdul Hadi Mat Taib