SANTUN PROFESSOR SIRI 1/2025: KETAGIHAN MEDIA SOSIAL, AYUH MUHASABAH

PSB ONLINE: 30 April 2025 – Satu syarahan bertajuk “Ketagihan Media Sosial, Ayuh Muhasabah” telah disampaikan oleh Ybrs. Prof. Ts. Dr. Ariffin bin Abdul Mutalib dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), UUM. Syarahan ini diadakan di Auditorium 1, Bangunan Utama, Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Para peserta yang hadir terdiri daripada beberapa kategori peserta antaranya pensyarah dan staf UUM. Selain itu, seramai 20 orang pelajar dan dua orang tenaga pengajar dari Akademi Binaan Malaysia (ABM) turut hadir serta 10 orang pelajar SMK Bandar Baru Sintok bersama guru pengiring.

Sesi pembukaan kali pertama pada tahun 2025 ini dirasmikan oleh Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan bin Taib. Syarahan kali ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan jumlah para peserta yang hadir secara fizikal dan dalam talian mencapai sehingga 186 orang.

Dalam syarahan tersebut, Prof. Ts. Dr. Ariffin menekankan isu ketagihan media sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan muda. “Kecenderungan pengguna meluangkan masa lebih dari tujuh (7) jam dengan menatap skrin gajet berbanding melaksanakan aktiviti sosial bersama manusia,” ujar beliau.

“Media sosial memang sengaja direka bentuk untuk menimbulkan ketagihan dalam kalangan pengguna,” tambah beliau lagi. Beliau mengupas pelbagai aspek negatif yang timbul akibat ketagihan media sosial, termasuk kesan terhadap kesihatan mental, mengurangkan produktiviti dan fokus serta hubungan sosial. Beliau turut berkongsi cara mengatasi permasalahan ketagihan media sosial ini kepada para hadirin. Antaranya, ibubapa perlu memantau dan mengawasi anak-anak yang mengguna gajet.

Beliau juga berkongsi beberapa statistik terkini mengenai penggunaan media sosial di Malaysia dan global, serta implikasi jangka panjang yang akan timbul jika masalah ini tidak ditangani dengan serius. Beliau turut memberikan beberapa cadangan praktikal untuk mengurangkan ketagihan media sosial, seperti menetapkan had masa penggunaan, mengamalkan aktiviti fizikal, dan meningkatkan interaksi sosial secara bersemuka.

Sesi syarahan ini diakhiri dengan sesi kuiz bersama para hadirin, di mana hadiah menarik disediakan untuk mereka yang berjaya menjawab soalan dengan betul.

Maka boleh disimpulkan, syarahan yang sangat dekat dengan kehidupan seharian kita, “Ketagihan Media Sosial, Ayuh Muhasabah”, yang disampaikan oleh Ybrs. Prof. Ts. Dr. Ariffin bin Abdul Mutalib telah berjaya membuka mata dan minda hadirin mengenai isu ketagihan media sosial. Bak kata beliau, “Teknologi tidak salah,kita yang perlu selalu muhasabah”. Diharapkan syarahan ini dapat memberi kesedaran dan motivasi kepada semua untuk mengawal penggunaan media sosial dan menjalani kehidupan yang lebih seimbang dan sihat.

Disediakan oleh: Siti Ainsyah binti Kamis
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf bin Syed Ismail