‘SCAVENGER HUNT’ UJI MENTAL DAN STAMINA PESERTA

26 Februari 2020 – Sekali lagi Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berjaya menganjurkan aktiviti menarik seperti ‘Scavenger Hunt’ khas buat siswa dan siswi Universiti Utara Malaysia (UUM).

Cik Mazyana Hashim selaku Ketua Bahagian Rujukan dan Perkhidmatan Maklumat menyatakan bahawa penganjuran aktiviti sebegini adalah bertujuan untuk mengeratkan hubungan di antara pelajar dan PSB di samping dapat menambah ilmu pengetahuan mereka mengenai servis dan fasiliti yang tersedia. Ujar beliau lagi, “aktiviti berbentuk pengembaraan ini mampu mencetus aspek kreativiti, kepimpinan, kemahiran menilai dan menyelesaikan masalah, kerjasama berkumpulan dan memupuk rasa sayangkan perpustakaan di mana mereka perlu menyiapkan tugasan-tugasan yang telah diberikan di setiap ‘checkpoint’ dan merasai sendiri pengalaman petugas PSB menyediakan servis terhadap pengguna seperti mereka perlu menyusun buku mengikut nombor panggilan, mencari buku berdasarkan nombor panggilan sahaja, membalut kotak hadiah dan pelbagai lagi”.

Kegembiraan dan keterujaan para peserta jelas tergambar apabila mereka saling berganding bahu untuk menyiapkan segala tugasan diberi dengan hanya berpandukan petunjuk atau bayangan yang diberikan. Mereka juga dapat mengenal dan menjelajahi setiap sudut bangunan PSB yang mungkin mereka tidak berpeluang memasukinya sebelum ini seperti di ruang kerja staf PSB. Pemenang tempat pertama hingga ketiga telah berjaya membawa pulang hadiah berupa hamper serta semua peserta menerima sijil penghargaan.

Aktiviti ini telah bermula pada jam 3.30 petang dan berakhir sekitar jam 6.30 petang.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Urusetia Scavenger Hunt