PSB ONLINE: Satu Program Jerayawara Merdeka Bukit Kayu Hitam di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Bukit Kayu Hitam telah berjaya dilaksanakan oleh Bahagian Arkib Universiti dan Muzium Pengurusan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu dan Muzium Negeri Kedah pada 28 Ogos 2024 yang lalu. Program berkenaan dilaksanakan sebagai salah satu program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi tujuan memupuk semangat kecintaan peserta pada negara, membina jati diri serta bagi mendedahkan mereka tentang latar belakang sejarah Bukit Kayu Hitam kepada para pelajar. Sejumlah 120 orang peserta telah mengikuti program ini.
Perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pustakawan Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Prof. Dr. Che Azlan Taib dengan merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ybrs. Haji Muhiyidin bin Omar, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Bukit Kayu Hitam kerana sudi berkerjasama dengan pihak Perpustakaan Sultanah Bahiyah dan Muzium Negeri Kedah bagi menjayakan program ini dalam usaha menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia kali ke-67 .
Bersempena menyambut hari kemerdekaan Malaysia tercinta pada tanggal 31 Ogos 1957. Ketua Pustakawan mengajak semua peserta program agar benar-benar mengerti serta menghayati maksud kemerdekaan. Beliau menegaskan bahawa keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi sekarang adalah hasil perjuangan dan usaha gigih para perajurit serta anggota keselamatan tanahair yang selama ini tidak mengenal erti penat lelah dan sanggup berkorban bagi menjamin keselamatan rakyat dapat menjalani kehidupan dengan aman dan sentosa.
Beliau mengetengah sejarah Bukit Kayu Hitam yang asalnya diberikan oleh tentera Siam. Mengikut cerita, dalam perjalanan untuk menyerang Kedah, tentera Siam telah singgah di sebuah bukit dan berkampung di situ. Mereka memasak nasi menggunakan sebatang kayu sebagai senduk dan nasi tersebut berubah menjadi kehitaman. Mereka mencari punca perihal tersebut dan mendapati kayu sekitar pokok tersebut berwarna kehitaman. Pokok itu merupakan pokok komoi, dan dari situlah wujudnya Bukit Kayu Hitam dalam bahasa Siam disebut Kuan Mhai Dam (menyerang).Pihak Siam telah kalah dalam peperangan dan orang-orang Melayu telah berjaya membuka dan mebangunkan perkampungan di sekitar Bukit Kayu Hitam dengan kegiatan utamanya pertanian. Kegiatan ini semakin berkembang apabila berlakunya urusan perdagangan antara Kedah dengan Siam. Namun, kawasan ini terpaksa ditutup sepenuhnya pada tahun 1948 akibat darurat kerana peningkatan ancaman dan kegiatan Komunis dan semua penduduk diarah berpindah ke Changlun..
Pada tahun 1977, Bukit Kayu Hitam telah diisytiharkan sebagai pintu keluar masuk Thailand ke negara ini. Kemudahan kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin juga tururt ditempatkan di sini seperti Balai Polis, Balai Bomba, Kem Polis Hutan, Kem Tentera dengan kemudahan insfrastruktur jalanraya yang lebih baik. Bandar Bukit Kayu Hitam kini semakin pesat membangun dan mampu menyediakan pelbagai peluang pekerjaan bagi penduduk setempat dan pekerja asing . Sekarang Bandar Bukit Kayu Hitam telah dilengkapi dengan hub logistik serta National Hub Rubber City (Delapan) dan kawasan industri kerajaan Negeri Kedah. Dan mampu mebawa masuk para pelabur asing ke negara kita.
Bagi mendokong tema sambutan kemerdekaan pada tahun ini iaitu “Malaysia Madani : Jiwa Merdeka”, Prof. Dr Che Azlan menyeru agar semua peserta yang hadir sentiasa bersatu hati tanpa mengira warna kulit dan pegangan agama untuk mewujudkan kesepaduan yang holistik demi kemajuan dan keamanan negara Malaysia tercinta.