SELAMAT BERPINDAH KE JABATAN BARU DAN SELAMAT BERSARA

Muzium Online – Satu majlis perpisahan telah diadakan pada 22 Mac 2022 untuk meraikan staf yang akan bersara iaitu Encik Mohamad Noor Ismail dan Puan Norazlina Ismail yang bertukar jabatan .

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Ahmad Fakhruddin, pelajar praktikal di Muzium Pengurusan UUM dan seterusnya diserikan dengan ucapan oleh Tuan Haji Mohd Fairus Abd Majid, Pengurus Muzium Pengurusan UUM.  Dalam ucapan tersebut beliau merakamkan ucapan ribuan terima kasih atas segala jasa yang telah dicurahkan oleh mereka berdua selama bekerja bersama-sama di muzium.

Sedikit mengenai latarbelakang mereka yang dirai, Encik Mohamad Noor Ismail telah memulakan perkhidmatannya sebagai Penyemak Perpustakaan pada tahun 1984 di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Beliau telah ditempatkan di beberapa bahagian di PSB sehinggalah diarahkan untuk berkhidmat di muzium pada tahun 2019. Beliau telah berkhidmat di UUM selama 35 tahun. Sementara itu, Puan Norazlina Ismail pula telah ditukarkan ke Unit Audit Dalam, Jabatan Canselori. Beliau mula berkhidmat di muzium pada tahun 2018.

Muzium mengucapkan ‘Selamat Bersara’ dan merakamkan ucapan terima kasih di atas jasa, dedikasi melaksanakan amanah kerja dan komitmen yang diberikan sepanjang bertugas, Semoga diberi anugerah kesihatan, keselamatan, kebahagiaan dan kejayaan.

‘Selamat Bertugas’ di tempat baharu diucapkan kepada Puan Norazlina Ismail, semoga segala pengalaman dan kemahiran yang ditimba di muzium dapat dimanfaatkan sebaiknya di tempat baharu kelak.

Majlis perpisahan ini turut dihadiri oleh semua staf dan mantan staf muzium.

 

Disediakan oleh: Muzium Pengurusan UUM

Gambar oleh: Muzium Pengurusan UUM